AM > BERITA

Permohonan OSH-MADANI Kini Dibuka, Sedia Latihan Percuma Lahirkan Penyelaras OSH

07/02/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membuka permohonan untuk menyertai Program OSH-MADANI, yang menyediakan latihan percuma bagi melahirkan 10,000 Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C).

NIOSH dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan bertujuan melahirkan OSH-C yang kompeten bagi memperkukuh pematuhan terhadap peraturan keselamatan dan memastikan kesejahteraan pekerja terus terjamin.

Institut itu turut memaklumkan program berkenaan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 25 hingga 50 tahun serta mempunyai sekurang-kurangnya setahun pengalaman bekerja, selain menyasarkan individu tidak bekerja, bekerja sendiri atau bekerja di syarikat yang tidak mencarum kepada HRD Corp.

“Ia hanya dibuka kepada pekerja dalam syarikat kategori mikro dengan pendapatan tahunan di bawah RM300,000, dan bilangan pekerja kurang daripada lima orang serta syarikat kecil yang memperoleh pendapatan tahunan di bawah RM15 juta serta bilangan pekerja kurang daripada 75 orang,” menurut kenyataan itu.

Borang permohonan boleh didapati di laman sesawang www.niosh.com.my yang akan disemak oleh pihak NIOSH dalam tempoh tujuh hari bekerja dan peserta yang layak akan dihubungi melalui SMS, WhatsApp atau panggilan telefon bagi pemilihan lokasi serta tarikh kursus.

Pada 26 Jan lepas, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementerian itu menerusi NIOSH akan menyediakan latihan pentauliahan koordinator OSH secara percuma kepada 10,000 peserta daripada perusahaan kecil dan sederhana (SME) melibatkan peruntukan kira-kira RM9 juta.

Sementara itu, NIOSH memaklumkan program OSH-MADANI adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan setiap pekerja, termasuk mereka yang dalam sektor mikro dan kecil, mempunyai akses kepada latihan keselamatan yang berkualiti.

“Selain itu, ia juga menyokong sektor mikro dan kecil yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, selaras dengan prinsip keterangkuman dan kemampanan yang diketengahkan oleh Kerajaan MADANI,” menurut kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan