KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Nilai pengorbanan, disiplin dan pengabdian dalam sambutan Thaipusam menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan dan bersama-sama membina negara yang lebih baik, kata Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah.
Bekas timbalan menteri itu, dalam ucapan sempena Thaipusam yang bakal disambut 11 Feb ini menggesa semua rakyat Malaysia agar terus memupuk suasana hormat dan toleransi, memastikan sambutan agama menggalakkan keamanan dan kebaikan.
“Malaysia sebuah negara yang unik, rakyat berbilang kaum dan agama hidup bersama dalam harmoni. Dalam menyambut perayaan masing-masing, penting untuk menghormati dan menegakkan nilai perpaduan, saling hormat serta memahami antara kita. Inilah keterangkuman yang menjadikan Malaysia benar-benar istimewa,” katanya.
Murugiah berkata Thaipusam adalah peringatan bahawa kepelbagaian agama dan budaya harus dilihat sebagai kekuatan, bukannya perpecahan.
“Semasa menyaksikan perarakan besar serta kavadi dan upacara keagamaan di Batu Caves, Pulau Pinang serta pelbagai lagi kuil di seluruh negara, marilah kita juga mengukuhkan komitmen kepada keharmonian nasional,” katanya.
Thaipusam disambut ketika bulan penuh dalam bulan Thai mengikut kalendar Tamil, bagi memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan lembing suci kepada Dewa Murugan untuk menewaskan kejahatan, melambangkan kemenangan kebenaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial