AM > BERITA

Situasi Banjir Semakin Pulih, Namun Rakyat Diingatkan Terus Waspada - Ahmad Zahid

09/02/2025 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Walaupun situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin pulih selepas dua minggu bencana itu, namun orang ramai diingatkan untuk terus berwaspada.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook hari ini mengingatkan perkara itu kerana terdapat kemungkinan berlakunya luruan yang membawa hujan lebat berikutan Monsun Timur Laut yang masih berlaku sehingga Mac ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana di Malaysia Timur setakat ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir.

“Saya berharap pihak NADMA akan terus menyusun atur gerak kerja pasca dan pembaikan dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat bagi mempercepatkan pemulihan terutamanya infrastruktur di kawasan yang terjejas.

“Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir tersebut tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama,” katanya.

Terdahulu Jabatan Meteorologi (METMalaysia) pada 11.45 pagi ini mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa tempat di Sarawak iaitu di Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang yang dijangka sehingga 3 petang ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan peka dengan keadaan tersebut.

Orang ramai boleh melayari www.portalbencana.nadma.gov.my, untuk mengetahui laporan terkini dan sahih berkaitan bencana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan