SUNGAI BULOH, 10 Feb (Bernama) -- Sebanyak 600 pelajar sekolah daripada keluarga B40 dalam Parlimen Sungai Buloh menerima tajaan pembukaan Akaun Simpanan-i Nuri Bank Rakyat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan hari ini.
Beliau berkata tajaan peribadi itu bertujuan memberi platform kepada pelajar untuk memulakan penjimatan bagi keperluan pendidikan masa depan mereka.
Ramanan turut menanggung kos pembukaan akaun sebanyak RM20 bagi setiap pelajar seperti dilakukan beliau tahun lepas.
“Setiap pelajar yang menerima sumbangan hari ini akan dibuka akaun i-Nuri. Produk ini adalah produk pendidikan untuk masa depan kanak-kanak yang disediakan khas Bank Rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jangkauan Komuniti MADANI: Kembali Ke Sekolah anjuran Bank Rakyat di sini hari ini.
Pada program itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menyumbangkan kelengkapan sekolah bernilai RM48,000 termasuk beg dan alat tulis kepada 600 murid dari 19 sekolah dalam kawasan Parlimen itu.
Dalam ucapannya Ramanan berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan kepentingan pendidikan sebagai teras dalam pembangunan negara, selaras dengan prinsip masyarakat MADANI.
“Nilai-nilai dalam kerangka Malaysia MADANI meletakkan kepentingan pendidikan bagi melahirkan individu yang bertanggungjawab dan berupaya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara,” katanya.
Inisiatif itu bukan sekadar bantuan kewangan tetapi simbol kasih sayang dan sokongan kepada golongan memerlukan seterusnya membuktikan komitmen kerajaan memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang pendidikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial