AM > BERITA

‘Yob Talang’, 'Yong Shida’ Dipindahkan Dari Kampung Orang Asli Talang

10/02/2025 05:29 PM

SUNGAI SIPUT, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya memindahkan dua ekor gajah liar yang dipercayai memusnahkan tanaman dan rumah penduduk di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Terengganu (PKGT) Sungai Deka Mohd Happy Mohd Noor berkata gajah jantan dan betina berusia 20 dan 25 tahun dengan berat dianggarkan lebih dua tan itu ditangkap pada 5 Feb lepas, kira-kira 10.30 pagi.

Beliau berkata operasi pemindahan gajah yang dinamakan sebagai Yob Talang dan Yong Shida itu juga melibatkan kira-kira 20 anggota pasukan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Perak, Johor serta PKGT Sungai Deka.

“Operasi ini turut dibantu oleh dua gajah denak (betina) Suria dan Indah yang dibawa dari PKGT Sungai Deka. Untuk proses pemindahan ini juga kita lakukan dalam dua fasa.

“Fasa pertama pemindahan melibatkan Yong Shida yang telah kita lakukan pada Sabtu (8 Feb) manakala fasa kedua melibatkan Yob Talang yang kita lakukan pada hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini hari ini.

Sebelum ini, tular video berdurasi 50 saat memaparkan rumah seorang penduduk Orang Asli musnah akibat serangan haiwan liar di kampung berkenaan.

Penduduk turut mendakwa kerugian sekitar RM20,000 akibat kerosakan perabot dan peralatan elektrik.

Mohd Happy berkata kedua-dua gajah yang berada dalam keadaan sihat itu dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum, Gerik.

Beliau turut menasihati penduduk agar tidak bertindak sendiri atau melakukan provokasi terhadap haiwan liar itu kerana gajah boleh bertindak agresif sekali gus mengancam nyawa.

“Paling utama, pastikan kalau ada kebun atau ladang, ia berada dalam keadaan bersih kerana jika tempat itu semak samun, kemungkinan besar kawanan gajah ini akan datang.

“Jika mengesan kehadiran gajah-gajah liar ini di mana-mana lokasi, segera laporkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan