AM > BERITA

Hartasuma Berhasrat Bangunkan Sistem Lif Bermotor Di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani

11/02/2025 07:32 PM

GEORGE TOWN, 11 Feb (Bernama) -- Hartasuma Sdn Bhd (Hartasuma), syarikat dilantik secara Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi projek kereta kabel Bukit Bendera, menyatakan hasrat membangunkan sistem lif bermotor atau people mover system di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani (Hilltop), Jalan Kebun Bunga di sini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek bernilai RM4 hingga RM6 juta itu dijangka meningkatkan nilai inklusif kepada penganut Hindu ke kuil yang bersejarah dan terletak pada ketinggian lebih 100 meter itu.

"Sejak kuil Dewa Murugan (Kuil Arulmigu Balathandayuthapani) paling ikonik dalam negara ini dibina, kerajaan ngeri saban tahun terlibat secara langsung dalam aspek pembangunan serta penambahbaikannya.

"Selama ini, warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita hamil serta lain-lain dilihat menghadapi kesukaran untuk tiba di puncak kuil disebabkan kecerunan dan anak tangga. Justeru, saya mengambil peluang ini mengumumkan bahawa Hartasuma telah menyatakan hasrat untuk membangunkan sistem lif bermotor atau people mover system di kuil bersejarah tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas lawatan ke Kuil Arulmigu Balathandayuthapani sempena Thaipusam hari ini. Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang dan barisan pemimpin kerajaan Perpaduan.

Lebih 1.5 juta penganut Hindu serta pelancong dalam dan luar negeri menyaksikan perarakan dua pedati iaitu pedati emas ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga dan pedati perak ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun, sempena sambutan Thaipusam bermula semalam. 

Chow berkata dalam surat bertarikh 5 Feb lepas, Hartasuma menyatakan perancangan bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk mengenal pasti jenis lif atau sistem pengangkutan paling sesuai dibina di lokasi berkaitan menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) syarikatnya.

Beliau berkata setelah siap dibina, kemudahan projek yang diperjuangkan selama 30 tahun oleh Kuil Arulmigu Balathandayuthapani itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk pengoperasian dan penyelenggaraan.

"Kajian kebolehlaksanaan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan manakala pembinaan dianggarkan dalam tempoh 24 bulan.

"Pembinaan tanpa melibatkan wang kuil, wang Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEPP) atau kerajaan negeri walau ia sebenarnya satu keperluan penting,” katanya.

Pengerusi PHEB RSN Rayer berterima kasih kepada Hartasuma atas kesudian pihaknya membangunakan sistem lif bermotor bagi kegunaan pengunjung kuil berkenaan.

“Bagi pihak jutaan penganut, kami mengucapkan terima kasih kepada Hartasuma atas inisiatif ini yang memberi manfaat kepada orang ramai yang mungkin menghadapi masalah untuk ke kuil di puncak bukit ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hartasuma Tan Sri M Ravindran dalam kenyataan berkata pihaknya komited untuk mencapai impak sosial yang positif melalui pembangunan infrastruktur yang mampan.

“Inisiatif Mobiliti Kuil Puncak Bukit bukan sekadar mengenai pengangkutan, ia mengenai keterangkuman, memelihara warisan dan memastikan setiap pengunjung tanpa mengira umur atau kemampuan dapat mengakses tapak bersejarah ini dengan mudah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan