GEORGE TOWN, 13 Feb (Bernama) -- Dua ratus pelajar dari dua sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang terpillih menerima bantuan persekolahan menerusi Program Titipan Kasih ‘Back To School’ anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersama Harian Metro.
Mereka yang terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad itu, menerima kelengkapan berupa set pakaian dan beg sekolah pada majlis yang diadakan di SK Bukit Gelugor di sini hari ini.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata sumbangan bantuan barangan persekolahan berjumlah RM37,000 itu bertujuan meringankan bebanan kewangan ibu bapa dalam membuat persediaan bagi sesi persekolahan baharu 2025 pada Isnin ini.
Beliau berkata program Titipan Kasih Back To School berkenaan satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan setiap tahun oleh PTPTN dan merupakan tahun kedua pelaksanaannya bersama Harian Metro.
“Dua sekolah ini dipilih kerana kemiskinan bandar sangat kritikal buat masa ini, jadi kita harap dengan bantuan diberikan ini akan dapat meringankan bebanan ibu bapa untuk anak-anak memulakan sesi persekolahan baharu.
“Inisiatif ini diharap dapat diteruskan dan lebih banyak pihak tampil memberikan sumbangan untuk bersama-sama menyantuni khususnya mereka daripada golongan kurang berkemampuan. Ini kerana kita tidak mahu ada pelajar yang tercicir menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian program Titipan Kasih Back To School Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersama Harian Metro di SK Bukit Gelugor di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro Husain Jahit, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang Mohamad Said Ibrahim, Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Korporat Kumpulan Pejabat Pengerusi Media Prima Berhad Azlan Abdul Aziz, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar, serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Norliza berkata selain sumbangan kelengkapan sekolah pihak Media Prima Berhad turut menyumbangkan RM20,000 dengan setiap pelajar menerima RM100 yang akan dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime.
"Melalui program ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen kami di PTPTN untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua. Kami percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya dan usaha ini juga diharap memberi semangat baharu kepada anak-anak untuk memulakan persekolahan,” katanya.
Sementara itu, Husain berkata sumbangan yang diberikan diharap dapat memupuk budaya menabung dalam kalangan pelajar sedari usia muda serta membantu mereka merancang masa depan pendidikan dengan lebih baik.
“Inisiatif ini turut mencerminkan keprihatinan dan komitmen Media Prima Berhad dalam menyumbang kembali kepada masyarakat. Melalui pelbagai program yang dirangka, kami berusaha untuk memberikan impak positif yang berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Norlaili Kasim Baba, 52, dari Jelutong, di sini berkata bantuan diberikan amat melegakan kerana dapat mengurangkan beban perbelanjaannya menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak tambahan pula Ramadan dan Syawal akan menyusul tidak lama lagi yang turut memerlukan belanja besar.
“Program ini juga memberi kesedaran kepada saya mengenai kepentingan menabung untuk pendidikan anak-anak melalui Simpan SSPN. Sebelum ini saya tak tahu tentang tabung simpanan ini, insya-Allah saya akan mula menyimpan demi masa depan mereka,” kata ibu kepada dua anak itu.
Mohd Fauzi Wa Daud, 42, pula berkata usaha dilakukan PTPTN dan Harian Metro itu amat dihargai dalam membantu mereka daripada golongan B40 menyediakan keperluan persekolahan anak.
“Saya ada dua anak yang masih bersekolah dan kos membeli baju serta kelengkapan agak tinggi, jadi melalui sumbangan hari ini memang banyak membantu saya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial