KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Peningkatan jenayah cyber scamming atau penipuan siber di rantau ini menuntut Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, memimpin negara-negara anggota blok itu bagi menangani isu berkenaan secara tuntas.
Profesor Madya di Jabatan Sains dan Politik Kuliyyah Ilmu Wahyu Islam dan Ilmu Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar berkata perkara itu adalah antara cabaran Malaysia yang memegang tampuk Kepengerusian ASEAN tahun ini.
“Isu keselamatan bukan tradisional, misalnya peningkatan industri cyber scamming yang banyak kelihatan di negara ASEAN memerlukan kerjasama negara-negara anggota. Dalam hal ini, Malaysia perlu memimpin negara berkenaan untuk menangani isu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu segmen khas Cerita ASEAN dalam program Apa Khabar Malaysia dengan tajuk “Kepengerusian ASEAN 2025: Tanggungjawab Malaysia Kini Bermula” terbitan Bernama TV hari ini.
Tunku Mohar berkata Malaysia, yang menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN buat kali kelima juga, berperanan menangani hubungan tegang ASEAN dengan kuasa besar, seperti China yang mempunyai kepentingan di rantau ini terutama sekali dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
“Sebagai negara berkuasa tengah, Malaysia perlu memainkan peranan diplomasi untuk cuba tangani ketegangan hubungan ini dengan baik,” katanya.
Dari sudut ekonomi, beliau berkata Malaysia perlu memimpin ASEAN dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada pada peringkat rendah.
Setakat ini, katanya hubungan dagang intra-ASEAN yang melibatkan eksport dan import, hanya sekitar 20 hingga 25 peratus.
“Sehubungan dengan itu, bagi memastikan rantau ini dapat menangani cabaran ekonomi global, negara-negara di rantau ini perlu meningkatkan hubungan dagangan intra-ASEAN sesama mereka,” katanya.
Malaysia juga kata beliau, perlu memimpin ASEAN untuk mendapatkan manfaat daripada hubungan yang lebih erat dalam blok dagangan terbesar dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Tunku Mohar berkata penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China juga dilihat mampu menjadi batu loncatan dalam penerokaan hubungan baharu yang sangat baik dan strategik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial