LUMUT, 14 Feb (Bernama) -- Lebih 1,500 nelayan di kawasan utara dan selatan Manjung bimbang sekiranya aktiviti perlombongan bijih timah dasar laut yang akan dilaksanakan di Persisiran Pantai Hutan Simpan Segari di sini, bakal menjejaskan pendapatan serta ekosistem di perairan itu.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Manjung Utara Mohamad Faizal Mat Zin berkata satu kajian menyeluruh termasuk sesi libat urus bersama komuniti nelayan perlu dilakukan pihak berwajib ekoran aktiviti perlombongan di kawasan seluas 326 hektar itu telah diluluskan pada 31 Jan lepas.
“Sesi libat urus seharusnya diadakan bersama kami sebagai pemegang taruh dan nelayan persisir pantai yang mencari rezeki di kawasan perairan ini
“Jika aktiviti ini diteruskan ia bukan hanya akan menjejaskan pendapatan kami malah dikhuatiri akan memusnahkan hidupan di perairan tersebut yang diketahui kaya dengan pelbagai hasil laut,” katanya pada sidang media berhubung isu itu di sini hari ini.
Beliau berkata selain kemusnahan ekosistem, aktiviti perlombongan itu juga akan menyebabkan berlakunya perubahan bentuk permukaan dasar laut secara tidak alami.
Mohamad Faizal berkata keadaan itu akan mengganggu lekuk dasar dan arus air di permukaan dasar laut sekali gus mengakibatkan kemusnahan habitat semula jadi hidupan marin di kawasan berkenaan.
Sementara itu, nelayan Sarizal Hanafi berkata kebimbangan komuniti nelayan itu bukanlah disampaikan secara semborono sebaliknya mempunyai asas berdasarkan kesan aktiviti sama yang berlaku di perairan Teluk Mengkudu di Manjung, 13 tahun lepas
“Kawasan itu berlaku pencemaran yang agak teruk sehinggakan air laut di kawasan tersebut berkelodak, kotor dan busuk selain menjadi cetek akibat mendapan sisa lumpur.
“Jadi, kami tak mahu situasi sama berulang kembali dan kali ini mungkin lebih terkesan disebabkan aktiviti pengorekan yang akan dilakukan di kawasan yang lebih besar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial