KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) hari ini mengumumkan penubuhan Kumpulan Kerja atau Working Groups (WGs) bagi memacu agenda kecerdasan buatan (AI) negara.
Kementerian Digital dalam kenyataan memaklumkan WGs yang akan memulakan peranannya bulan ini menggabungkan pakar dari sektor teknologi, akademik, industri, agensi kerajaan dan masyarakat sivil yang mempunyai komitmen tinggi untuk membangunkan negara.
"Mereka membawa kepakaran dan pengalaman kolektif untuk membentuk kemajuan AI yang dipandu oleh prinsip etika, kepentingan awam, dan kelestarian jangka panjang.
“Setiap WGs mempunyai objektif, hasil dan sasaran yang jelas melalui kerjasama dengan pasukan sektoral untuk merealisasikan strategi AI yang memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat," menurut kenyataan itu.
Kementerian Digital memaklumkan fokus utama Kumpulan Kerja berkenaan meliputi Kedaulatan AI: Memperkukuh kawalan Malaysia terhadap keupayaan AI, data dan infrastruktur dan Peraturan dan Dasar AI: Membangunkan rangka kerja kawal selia dan hala tuju strategik AI negara.
Fokus lain meliputi Keselamatan AI: Menangani risiko AI untuk keselamatan nasional dan digital; Tadbir Urus dan Etika AI: Melaksana model tadbir urus dan garis panduan etika AI dan Keselamatan Sistem AI: Memastikan sistem AI dipercayai, boleh diandalkan, dan selaras dengan kepentingan awam.
Kementerian Digital memaklumkan WGs mewakili pendekatan inklusif yang memacu kepimpinan AI negara, dengan kepelbagaian kepakaran memainkan peranan penting dalam merangka dasar yang akan memberi kesan kepada semua komuniti.
Objektif utama inisiatif ini antaranya memperkukuh rangka kerja tadbir urus AI untuk memupuk kepercayaan awam, mempercepat penerapan AI dalam sektor penting seperti kesihatan, pengangkutan, pertanian dan perkhidmatan awam.
NAIO turut mengalu-alukan penyertaan rentas sektor bagi memastikan strategi AI yang holistik dan berimpak tinggi untuk Malaysia dengan penyertaan dan cadangan boleh disalurkan kepada contactus@ai.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial