KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar (SJTJ) Port Dickson yang terbakar semalam telah kembali beroperasi seperti biasa.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Muhamad Nazri Pazil dalam kenyataan berkata kebakaran tersebut hanya melibatkan suar pada bolong keluar saluran paip gas.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kebakaran berlaku selama 14 saat bermula 8.28 malam. Ia berjaya dipadam segera hasil tindakan pantas pihak stesen jana kuasa yang melaksanakan penutupan selamat punca gas," katanya.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran manakala pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan utama pada aset dan mesin penjanaan di SJTJ.
"Kami sedang menjalankan pemeriksaan lanjut dan mengambil langkah proaktif bagi mengenal pasti punca kebakaran serta mencegah kejadian serupa daripada berulang," katanya.
Muhamad Nazri mengesahkan operasi stesen tersebut tidak terjejas dan telah mendapat pengesahan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk meneruskan operasi.
"SJTJ mempunyai kapasiti penjanaan 1,411 megawatt (MW) namun hanya 350 MW dihentitugaskan sementara, manakala selebihnya beroperasi seperti biasa," katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kejadian kebakaran itu tidak menjejaskan keupayaan TNB dalam membekalkan elektrik kepada pengguna.
Semalam TNB mengesahkan insiden kebakaran di SJTJ namun tiada insiden tidak diingini dilaporkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial