PUTRAJAYA, 15 Feb (Bernama) -- Kaedah pemberian lesen bazar Ramadan di ibu negara tahun ini akan dijalankan secara telus termasuk cabutan undi petak dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL dalam peringkat akhir memuktamadkan peniaga di bazar Ramadan.
Beliau berkata setakat ini hanya 20 hingga 30 peratus yang belum mengisi permohonan tapak dan ia masih dibuka kepada mereka yang berminat untuk berniaga di musim Ramadan.
Tahun ini sebanyak lebih 3,000 petak perniagaan disediakan di Kuala Lumpur.
"Kita membuka ruang sepenuhnya kepada mereka yang betul-betul ada hasrat untuk berniaga dan meningkatkan pendapatan di bulan Ramadan untuk (menyambut) Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Karnival Sukan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 di sini hari ini.
Dr Zaliha berkata terdapat dua peringkat bazar iaitu Ramadan dan Aidilfitri, pemberian lesen secara langsung selain aspek penyelenggaraan dilaksanakan DBKL.
Beliau berkata kaedah pemberian lesen secara langsung dilaksanakan di Putrajaya dan Labuan tahun berjaya memastikan peniaga mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata mana-mana individu atau persatuan peniaga yang tidak berpuas hati boleh menghantar aduan kepada DBKL dan bukannya membuat dakwaan tidak berasas.
Pada 13 Feb lepas, dilaporkan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) mendakwa DBKL gagal menangani beberapa isu yang timbul membabitkan bazar Ramadan di ibu negara termasuk jualan semula tapak lot.
Dr Zaliha berkata pihaknya akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menjual semula lesen bazar Ramadan seperti yang digesa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 10 Feb lepas, Anwar dilaporkan berkata lesen bazar Ramadan yang didapati dijual semula akan dibatalkan dengan segera.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki kini dalam peringkat akhir
Beliau berkata satu taklimat akan diadakan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dalam masa terdekat bagi mendapatkan hasil siasatan itu.
Sebelum ini, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Mengenai Karnival Sukan, Dr Zaliha berkata program itu satu pendekatan serampang dua mata yang membudayakan cara hidup sihat dan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukan Malaysia (SUKMA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial