AM > BERITA

Lapan Individu Bantu Siasatan Kandungan Palsu, Jelik - MCMC

15/02/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan lapan individu disyaki memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan berkenaan disifatkan boleh membangkitkan kebencian terhadap institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Menurut MCMC, siasatan dijalankan susulan laporan diterima dan pasukan penyiasat telah melakukan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Operasi pemeriksaan dilakukan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang. Lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu serta kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan