AM > BERITA

Generasi Muda Perlu Basmi Anasir, Elemen Pecah-belah Perpaduan Kaum - Zulkifli

15/02/2025 05:33 PM

SEPANG, 15 Feb (Bernama) -- Generasi muda di negara ini perlu memainkan peranan dalam menoktahkan anasir tidak baik atau sebarang elemen yang cuba memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang agama serta bangsa di Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata tanggungjawab itu perlu dilaksanakan golongan berkenaan bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara dapat diwarisi generasi akan datang.

“Anda semua perlu noktahkan dan basmi sebaik mungkin kerana jika mahu dapat pekerjaan serta gaji yang baik, keamanan dan kestabilan adalah perkara mustahak.

“Begitu besar peranan dan potensi anda dalam mana-mana gerakan. Namun begitu yang kita inginkan untuk mengetuai perubahan di Malaysia bukan sebarang belia. Negara perlukan belia yang beriman, mempunyai jati diri, tidak mudah ternoda dengan godaan dunia dan mempunyai sifat kepimpinan yang berwibawa,” katanya.

Zulkifli berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Rakan Belia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2025 di Institut Kemahiran Belia Tinggi Negara (IKBTN) Sepang, di sini hari ini.

Bertemakan ‘Belia MADANI Pemangkin Nafas Baharu Dakwah Digital’, konvensyen anjuran YADIM dan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) berjaya mengumpulkan lebih 300 peserta dari IKBTN seluruh negara dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam, Selangor.

Pada sidang media, Zulkifli berkata antara objektif utama konvensyen itu untuk membawa aspirasi MADANI dengan memberikan pencerahan serta kesedaran kepada generasi muda agar mereka dapat melakukan islah atau perubahan dalam masyarakat.

“Dalam konteks ini, MADANI memiliki enam tonggak yang menjadi asas. Melalui konvensyen ini, YADIM telah mengisi dengan program bermanfaat kepada anak muda agar mereka dapat memahami dan melaksanakan idea tersebut dalam kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu peserta konvensyen, Muhammad Aisar Mohd Sohfi, 20, berkata konvensyen itu adalah platform yang bermanfaat untuk mendapatkan pelbagai ilmu bagi membentuk sahsiah diri.

“Selain memperoleh pelbagai ilmu, program ini dapat merapatkan ukhwah saya dengan pelajar lain. Daripada buang masa, bagus juga ikuti program seperti ini,” kata pelajar IKBTN Sepang yang mengikuti jurusan Mekanikal Pembuatan.

Nur Amira Husna Mohd Nizam, 20, berkata dia akan melaksanakan pesanan disampaikan Zulkifli demi memastikan generasi muda bukan sahaja mendapat kemahiran dan ilmu pengetahun malah memiliki nilai moral serta adab yang terpuji. 

“Pesanan ini banyak manfaat kepada kami yang merupakan generasi Z, lebih-lebih lagi generasi kami lebih banyak tengok sosial media. Dekat sosial media ada macam-macam kandungan jadi pesanan ini jadi panduan buat kami,” kata anak kelahiran Putrajaya yang bercita-cita menjadi jurutera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan