KOTA BHARU, 15 Feb (Bernama) -- Bagi memperkukuh industri emas negara, Taman Emas Malaysia (TEM) dan Akademi Emas Malaysia hari ini dilancarkan yang berperanan sebagai pusat ekosistem industri emas merangkumi latihan kemahiran, ruang niaga, serta pemasaran barang kemas.
Pengerusi TEM Zulkifli Idris berkata inisiatif itu menyediakan ruang niaga meliputi 22 kedai emas, galeri barang kemas tradisional, serta pusat bertauliah seni kraf melalui Akademi Emas Malaysia.
"Akademi ini merupakan pusat pertama di Malaysia yang memperoleh pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah standard Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA), sekali gus memperkukuh statusnya sebagai hab pendidikan dan pelancongan seni kraf barang kemas pertama di negara ini.
"Pembukaan TEM juga bertepatan dengan budaya rakyat Kelantan yang cukup sinonim dengan sikap membeli dan menyimpan emas sebagai pelaburan dengan permintaan terhadap emas melebihi 500 kilogram sebulan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran TEM dan Perasmian Sadaqah Wall di sini hari ini.
Sadaqah Wall dengan kerjasama MBSB Bank dan PayNet bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk bersedekah dengan mudah ketika berkunjung ke pusat berkenaan.
Zulkifli berkata terdapat ramai tukang emas mahir di Kelantan yang diwarisi daripada generasi terdahulu, namun tidak memiliki sijil pengiktirafan sewajarnya.
"Melalui akademi yang diwujudkan ini, maka ia turut memberi peluang kepada mereka yang berminat menceburi bidang kraf emas mendapat pengiktirafan sekali gus melayakkan menceburi industri ini di syarikat yang lebih besar atau memasuki pasaran kerja di luar negara seperti di Dubai," katanya.
Beliau berkata program latihan itu mendapat tajaan MBSB Bank yang merupakan institusi kewangan pertama menyalurkan manfaat kepada rakyat Kelantan melalui pemberian zakat bagi menaja pelajar asnaf yang menyertai program jangka pendek di akademi berkenaan.
"Usahawan emas di Kelantan yang berminat menyewa ruangan niaga di TEM juga sangat dialu-alukan dengan kadar bayaran sewa yang berpatutan.
"Setakat ini, lapan daripada 22 ruang tapak niaga telah beroperasi di bangunan berkenaan dengan meraih jualan melebihi RM200,000 sebulan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial