AM > BERITA

Kerajaan Selangor Bentang Usul Percepat Siasatan Kes Faisal Halim

15/02/2025 07:18 PM

SHAH ALAM, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri bersedia untuk sekali lagi membentangkan usul mempercepat siasatan kes membabitkan pemain Selangor FC Muhammad Faisal Halim pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bermula Selasa ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata pertimbangan itu dibuat mengambil kira kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklum balas berhubung siasatan kes serangan asid terhadap  pemain kebangsaan itu yang telah menjangkau 10 bulan.

Beliau berkata kali terakhir kerajaan negeri menerima maklum balas berhubung kes itu adalah pada November lepas daripada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang memaklumkan kes berkenaan diambil alih pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Sejak itu, polis masih belum memberi maklum balas terkini perkembangan insiden malang yang menimpa Faisal Halim.

“Kerajaan negeri tidak mahu membuat sebarang andaian dan pilihan terbaik yang boleh dibuat adalah melalui usul di persidangan DUN Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan keempat Burg & Go di Seksyen 7 di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes tersebut susulan surat yang dihantar Speaker Lau Weng San kepada pihak berkuasa berkenaan selepas DUN Selangor meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap Muhammad Faisal pada Julai tahun lepas.

Mohd Najwan berkata cadangan untuk membangkitkan usul itu adalah bagi mendapatkan jawapan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkembangan terkini siasatan kes yang mendapat perhatian umum itu. 

"Saya percaya kes ini masih dalam siasatan tetapi ia perlu dipercepat agar maklum balas terhadap pelbagai persoalan berkaitan kejadian menimpa Faisal dapat dirungkai," katanya.

Pada 5 Mei tahun lepas, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 27 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, dekat sini menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan