AM > BERITA

Peralihan Monsun: JPN Kelantan Saran Sekolah Ambil Langkah Berjaga-jaga

16/02/2025 12:22 PM

KOTA BHARU, 16 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyarankan semua sekolah di negeri ini memastikan pelajar mengambil langkah berjaga-jaga dalam tempoh peralihan monsun bulan depan bagi mengelak sebarang komplikasi kesihatan. 

Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah JPN negeri Mat Lazim Mohamad berkata ia termasuk menggalakkan para pelajar memakai pelitup muka dan minum air yang mencukupi sepanjang sesi persekolahan berlangsung.

"Kelantan dijangka akan mula mengalami cuaca panas apabila peralihan monsun berlaku, jadi kita galakkan sekolah mengambil langkah awal atasi masalah ini.

"Hal ini kerana cuaca panas akan mendedahkan para pelajar kepada habuk yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan mereka seperti demam, selsema dan batuk," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1, di sini hari ini.

Beliau berkata aktiviti di luar kelas juga perlu dikurangkan dengan memberi fokus kepada kegiatan dalam bilik darjah, selain mengenakan pakaian yang bersesuaian.

Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata cuaca panas dan kering dijangka melanda kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak serta Pahang dan Kelantan bermula bulan ini hingga Mei.

Beliau berkata negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac dan dalam tempoh itu, litupan awan serta taburan hujan akan berkurangan.

Sementara itu Mat Lazim berkata 22 sekolah yang terjejas akibat banjir tahun lepas dapat beroperasi seperti biasa pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.

"Bagi sekolah di kawasan yang terjejas banjir, persiapan awal telah dilakukan dengan kita sediakan peralatan pembelajaran yang secukupnya. 

"Kita rakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan yang banyak membantu bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar, malah kami dimaklumkan masih ada lagi pihak yang mahu membantu menyumbangkan peralatan pembelajaran kepada sekolah dan pelajar," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan