TUMPAT, 16 Feb (Bernama) -- Meskipun sudah lebih lima dekad perusahaan serunding dan dodol Suzara bertapak di Kelantan, namun peluang bagi syarikat perniagaan yang menggunakan resepi turun-temurun itu untuk mempromosikan keluarannya ke rantau Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh.
Pengurus Pemasaran Suzara Serunding Nor Fatin Nabila Sukri berkata sehubungan itu pihaknya amat bersyukur apabila diberi peluang mempromosi serunding keluarannya di Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025, Johor Bahru pada 15 hingga 20 Jan lepas.
"Alhamdulillah ketika forum berlangsung, semua 50 kilogram serunding yang kami bawa habis dijual, malah ada delegasi dari Brunei yang hubungi saya untuk membuat tempahan makanan tersebut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Forum bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia itu memberi tumpuan kepada usaha memupuk pelancongan yang mampan, berdaya tahan dan inklusif di Asia Tenggara, mencerminkan komitmen anggota ASEAN untuk membina komuniti ASEAN yang adil dan mampan.
Nor Fatin Nabila berkata pihaknya masih mengekalkan empat jenis serunding iaitu daging tempatan yang dijual dengan harga RM66 sekilogram, daging import (RM56 sekilogram), ayam (RM57 sekilogram) dan ikan (RM45 sekilogram).
"Serunding daging tempatan menjadi pilihan utama pelanggan saya, tetapi apabila menjelang bulan puasa (Ramadan) dan perayaan Aidilfitri, serunding ikan turut mendapat permintaan tinggi kerana ada pelanggan saya yang mahu jual popia simpul dan karipap mini yang menggunakan inti serunding ikan.
"Sekarang ini pun memang kami agak sibuk uruskan permintaan daripada pelanggan kerana jualan akan mencecah lima hingga enam kali ganda menjelang musim berkenaan," katanya yang turut mengusahakan perniagaan dodol dan kuih gelembung buaya.
Beliau yang kini mempunyai 15 pekerja berkata proses membuat serunding ini memerlukan penelitian yang tinggi untuk memastikan bahan-bahan yang digunakan sebati dan dimasak dengan baik.
"Kebanyakan bahan yang digunakan ini dibeli dekat Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong, Kota Bharu sebelum diproses di kilang Kampung Laut, Tumpat dan pelanggan boleh beli sendiri di kilang.
"Kami juga ada buka satu lagi cawangan baharu di Kampung Laut yang tidak jauh dengan kilang dengan menempatkan lebih 50 produk lain daripada usahawan tempatan seperti kuih kapit, kerepek, popia gulung dan banyak lagi," katanya yang turut mendapat tempahan daripada China dan Australia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial