AM > BERITA

Masyarakat Diingat Berhati-hati Keluar Perkataan Boleh Bangkit Kemarahan Antara Kaum

16/02/2025 04:22 PM

KLANG, 16 Feb (Bernama) -- Masyarakat diingatkan untuk sentiasa berhati-hati agar tidak mengeluarkan perkataan atau perbuatan yang boleh membangkitkan kemarahan antara kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ia bagi memastikan perbuatan yang dilakukan dan perkataan dikeluarkan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya dah banyak kali sebut, kita perlu hati-hati dalam perbuatan dan perkataan kita (terutamanya melibatkan) sensitiviti kaum. Kita tak nak perkataan dan perbuatan yang kita keluarkan akan menyebabkan kemarahan kaum lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Muhibbah MADANI Tahun Baharu Cina 2025 di Bangunan Persatuan Hokkien Klang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada satu rakaman video tular di media sosial berkenaan seorang penjaja jagung yang meletakkan makluman berbaur perkauman pada jualannya, yang dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang dekat sini baru-baru ini.

Semalam Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi satu hantaran di laman X berkata sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tidak boleh diterima dan dikompromi.

-- LAGI

 

MOHD NA’IM-KAUM 2 (AKHIR) KLANG

 

Sementara itu Mohd Na'im berkata program yang diselaras oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini bertujuan mengukuhkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum serta agama.

"Itu sebahagian lumrah kejadian manusia. Kita diminta saling mengenal, menghormati kepelbagaian dan seperti semua sedia maklum dalam pembinaan kerajaan MADANI, semua usaha ke arah kesatuan dan perpaduan itu memang diutamakan.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Mohd Na'im menasihati masyarakat untuk tidak hidup dalam keadaan bercakap dengan kata-kata yang buruk, memfitnah, memaki  hamun dan saling bertengkar di antara satu sama lain. 

"Ini bukan akhlak yang diajarkan oleh Islam. Baginda Rasulullah SAW berpesan seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang  melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut, dan bukan juga daripada golongan yang suka berkata-kata keji dan buruk,” katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: Mohd Na'im Mokhtar, sensitiviti, masyarakat, penjual jagung, perpaduan

 


NKAH NKAH AZH


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan