SUNGAI PETANI, 16 Feb (Bernama) -- Hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Kedah hari ini dijayakan dengan kerjasama 30,011 guru dan 4,320 Anggota Kumpulan Perlaksana (AKP).
Pengarah Pendidikan negeri Ismail Othman berkata pelbagai aktiviti telah disusun oleh pihak sekolah pada minggu pertama persekolahan yang menekankan kepada aspek pemerkasaan silaturahim dalam kalangan warga sekolah.
"Operasi hari ini berjalan lancar, Alhamdulillah dan bagi minggu pertama konsepnya kita tidak ada sesi pengajaran dan pembelajaran, nak bagi ruang dan peluang untuk murid serta guru melaksanakan minggu silaturahim.
"Tujuannya untuk kita mewujudkan persekitaran sekolah yang penuh dengan kasih sayang dan menarik minat pelajar ke sekolah," katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang di sini hari ini.
Ismail berkata konsep Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Sejahtera dan Negara Sejahtera ditekankan bagi memastikan warga sekolah dapat menjalani rutin harian dalam keadaan yang selesa dan harmoni.
"Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan juga bertujuan untuk memberi kesan dan impak dari segi sosial, emosi, serta semangat murid-murid untuk datang ke sekolah dan minat belajar," katanya.
Ismail berkata 349,966 pelajar membabitkan 548 sekolah rendah dan 204 sekolah menengah di seluruh Kedah memulakan sesi persekolahan hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu 200,575 adalah murid sekolah rendah dan 149,392 pelajar sekolah menengah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial