AM > BERITA

Kerajaan Pusat Salur RM16 Juta Untuk Ketengah Baik Pulih Kemudahan Di Pulau Petang

16/02/2025 05:15 PM

KUALA BERANG, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi telah menyalurkan peruntukan RM16 juta kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) untuk pembaikan semula kemudahan di Pulau Petang, Tasik Kenyir, di sini. 

Pengerusi KETENGAH Datuk Seri Ahmad Said berkata pihaknya kini di peringkat melantik kontraktor setelah peruntukan itu disalurkan pada akhir tahun lepas.

“Kita akan bangunkan dan baiki semula 50 unit bilik resort di pulau ini yang terbengkalai dan akan gunakan tenaga solar. Jambatan ke santuari kelah yang telah rosak sejak beberapa tahun lepas juga akan dibaiki, selain membina rumah bot kelas medium.

“Kita juga merancang menanam pokok durian Musang King yang akan diambil dari Raub, Pahang. Kalau banyak (hasilnya) kita boleh komersialkan tetapi jika tidak, ia boleh dihidangkan kepada pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas melawat pulau berkenaan, di sini hari ini. 

Ahmad berkata projek berkenaan dijangka bermula pertengahan tahun ini dan bakal mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan untuk disiapkan. 

Bekas Menteri Besar itu berkata pulau berkenaan berkeluasan lapan hektar dan fasiliti di situ pernah digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk kursus dan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Menurut beliau meskipun pulau berkenaan berada di bawah milikan KETENGAH, namun agensi itu dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam mengekalkan keindahan pulau berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan