KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Tingkah laku rasis, kenyataan diskriminasi dan retorik yang memecahbelahkan, tidak sepatutnya ada dalam masyarakat kita, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Gobind dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan sedemikian, bukan sahaja menyakitkan hati tetapi juga merosakkan keharmonian kaum.
“Insiden seperti kes terbaru yang melibatkan seorang peniaga gerai menggunakan istilah menghina komuniti India perlu ditangani dengan segera. Pada masa yang sama, saya menyeru pemimpin masyarakat dan agama, serta semua rakyat Malaysia, untuk secara aktif mempromosikan keterangkuman dan saling menghormati.
“Kita mesti bekerjasama untuk membina sebuah masyarakat dengan setiap individu dilayan dengan bermaruah, tanpa mengira kaum, etnik, atau agama,” kata Gobind yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP.
Baru-baru ini, satu hantaran mengenai seorang penjual jagung yang meletakkan notis jualan berunsur perkauman telah tular di media sosial.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad kesal dengan tindakan berunsur perkauman yang berlaku di sebuah gerai menjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata tindakan sedemikian tidak mencerminkan nilai kemanusiaan dan perpaduan yang dipegang majoriti rakyat di negara ini.
“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya. Setiap individu berhak dilayan dengan rasa hormat tanpa sebarang diskriminasi. Melabel sesuatu kaum dengan istilah yang bersifat menghina tidak sepatutnya berlaku. Setiap kata-kata yang kita gunakan mencerminkan nilai diri dan masyarakat kita.
“Apa yang berlaku tidak menggambarkan sesuatu kaum. Selalunya, ada sebilangan kecil sahaja yang bersikap ekstrem dan rasis. Jangan biarkan perbuatan segelintir individu merosakkan hubungan baik antara kaum yang telah terjalin sekian lama,” katanya.
Nik Nazmi turut menyeru semua pihak supaya kekal tenang dan tidak memperbesarkan isu tersebut sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
Semalam, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tidak boleh diterima dan dikompromi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial