KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Asian Development Bank (ADB) di Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid dalam hantaran Facebooknya berkata kunjungan itu turut disertai wakil kementerian dan agensi berkaitan yang mengambil bahagian dalam sesi perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan ADB.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata tiga aspek utama diberikan tumpuan iaitu kepengerusian ASEAN, peranan sektor swasta dan pembangunan pengetahuan.
“Selain itu, saya turut menekankan komitmen Malaysia dalam memperkasakan bidang TVET, memperluas jaringan pengangkutan serantau serta memperkukuhkan integrasi ekonomi dengan negara jiran,” katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau juga turut berkongsi pandangan dan analisis mengenai perkembangan ekonomi global serta langkah-langkah strategik yang perlu diambil bagi menghadapi ketidakpastian ekonomi semasa.
“Insya-Allah, saya optimis bahawa perbincangan ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih erat dan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua pihak,” katanya.
ADB ialah sebuah institusi kewangan serantau yang ditubuhkan pada tahun 1966 dengan tujuan utama untuk mempromosikan pembangunan ekonomi dan sosial di Asia.
ADB menyediakan pinjaman, pembiayaan, dan sokongan teknikal kepada negara-negara anggotanya untuk mempromosikan pembangunan sosial dan ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial