AM > BERITA

JPW Laksana 734 Program Tahun Lepas, Bantu Lebih 17,000 Wanita Dalam Aktiviti Ekonomi

17/02/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah melaksanakan 734 program bagi membantu wanita dalam aktiviti ekonomi di seluruh negara sepanjang tahun lepas.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata 17,290 wanita telah menerima manfaat melalui pelbagai program, kursus dan latihan serta bimbingan mengenai pengurusan kewangan dalam bidang keusahawanan.

“Antara contoh program yang dilaksanakan bagi memperkukuhkan ekonomi kaum wanita khususnya ibu tunggal dan suri rumah yang kehilangan ketua rumah tangga ialah program berasaskan konsep circular economy, iaitu Program Ekonomi Pembangunan Mampan (OMEGA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Program ini merupakan sebahagian daripada program kemahiran dengan matlamat menjana pendapatan peserta melalui penghasilan produk yang mempunyai nilai komersial dari sumber bahan-bahan terbuang atau terpakai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang ingin tahu pelaksanaan bentuk program sokongan bagi merangsang status ekonomi kaum wanita dan keluarga yang kehilangan ketua rumah tangga serta statistik kumpulan itu yang terdapat dalam Parlimen Kuala Kedah.

Nancy berkata daripada jumlah itu 1,043 wanita di negeri Kedah termasuk ibu tunggal telah menerima manfaat melalui 49 program yang telah dilaksanakan.

“Peserta bagi program OMEGA di Kedah, ia meliputi pelbagai kawasan termasuk Alor Setar, Sungai Petani, Padang Serai, Pendang, Lunas, Baling dan banyak lagi. Pada tahun 2024, seramai 27 orang wanita dari negeri Kedah telah menyertai program ini.

“Alhamdulillah, lebih 65 peratus daripada mereka telah berjaya meningkatkan 50 peratus jumlah pendapatan berbanding sebelumnya,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan