AM > BERITA

Langkah Perkukuh CPI: Mesyuarat Petugas Khas Tumpu Penambahbaikan

17/02/2025 08:01 PM

PUTRAJAYA, 17 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Siri 2 hari ini membincangkan langkah-langkah bagi meningkatkan prestasi Malaysia dalam CPI, termasuk memberi perhatian kepada penurunan skor dalam tinjauan IMD World Competitiveness Yearbook dan Economist Intelligence Country Risk Service.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut meneliti strategi memperbaiki skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI susulan keputusan CPI 2024 yang diumumkan Transparency International-Malaysia pada 11 Feb lepas.

Antara langkah penambahbaikan yang dicadangkan ialah memperkukuh komunikasi dan advokasi mengenai usaha kerajaan dalam meningkatkan tadbir urus melalui inisiatif serta pembaharuan undang-undang seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Langkah penambahbaikan lain yang turut dicadangkan adalah penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan, usaha menangani karenah birokrasi menerusi Reformasi Karenah Birokrasi dan penambahbaikan mekanisme pelesenan perniagaan, mengikut kenyataan yang dikeluarkan pasukan petugas khas CPI, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Dalam usaha memperbaiki kedudukan CPI Malaysia, Kumpulan Fokus Daya Saing Perniagaan, diterajui Perbadanan Produktiviti Malaysia dan Kumpulan Fokus Pengurusan Dana Awam yang diketuai Kementerian Kewangan akan mengemukakan laporan komprehensif berdasarkan analisis kajian serta cadangan penambahbaikan kepada Pasukan Petugas Khas CPI agar langkah intervensi dapat diambil.

“Selain itu, Kumpulan Fokus Perundangan yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri akan menumpukan kepada reformasi perundangan termasuk pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap ketelusan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Susulan perbincangan ini, Pelan Hala Tuju CPI 10 Tahun telah dirangka dengan sasaran menempatkan Malaysia dalam kelompok 25 terbaik menjelang 2033.

Pelan berkenaan berteraskan tiga dimensi utama iaitu Akauntabiliti Bersama, Institusi Kukuh dan Berkesan, serta Kolaborasi Strategik.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus, Good Governance Conference 2025 akan dianjurkan pada 24 Feb ini di Putrajaya dengan penyertaan sektor awam, swasta, akademia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan