KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kesepakatan yang tercapai antara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) menjadi antara yang disentuh Ahli Parlimen khususnya dari Sarawak pada sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Rata-rata mereka menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan menyifatkan langkah itu mampu memperkukuhkan lagi sektor industri minyak dan gas negara.
Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berkata permuafakatan itu penting agar tata kelola, dasar dan pengembangan industri petroleum di Bumi Kenyalang itu bersandarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mengambil kira kedudukan PETROS di Ordinan Pengagihan Gas 2015.
“Selaras dengan semangat federalisme, kita harus percaya bahawa kemajuan ekonomi Sarawak bukan hanya kepentingan Sarawak semata-mata tapi ia juga akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan Malaysia secara keseluruhan,” katanya ketika membahaskan usul itu.
Turut senada, Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) menzahirkan penghargaan terhadap kewibawaan Kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri Sarawak kerana berjaya mencapai kesepakatan itu, selain berharap ia dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata langkah itu dapat memastikan kemampanan ekonomi di negeri itu dan negara yang seterusnya akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan rakyat.
Chong Chieng Jen (PH-Stampin) pula mencadangkan supaya kuota sekurang-kurang 30 peratus pegangan dalam PETRONAS serta komposisi ahli lembaganya diberikan kepada wakil Sarawak untuk memastikan kesepaduan dua pihak yang lebih baik.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi penerangan berhubung aktiviti petroleum di Sarawak melibatkan PETRONAS dan PETRONAS di Dewan Rakyat menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan menghargai aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi industri minyak di negeri tersebut.
Hasrat itu diterjemahkan melalui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.
Dalam pada itu, Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) menekankan pentingnya Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui terutama tenaga solar bagi menjamin masa depan yang lestari kepada generasi akan datang.
Beliau berkata Malaysia mempunyai potensi besar dalam penggunaan tenaga itu dengan kedudukan strategiknya di garisan khatulistiwa, memberikan purata sinaran suria tinggi sebanyak 1,571 kilowatt jam (kWj) per meter persegi setahun.
Katanya tenaga solar menyumbang 3.65 gigawatt daripada jumlah kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada Mei tahun lepas.
“Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya meneroka sumber alternatif seperti tenaga hidro, biojisim dan biogas yang masih kurang dibangunkan. Saya percaya dengan adanya sumber tenaga alternatif ini, negara dapat bergerak ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan mampan,” katanya.
Persidangan dewan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial