KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang memuktamadkan parameter utama bagi cadangan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) dengan diterajui sektor swasta.
Menurut Kementerian Pengangkutan parameter itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan persetujuan.
“Perincian berkaitan butiran konsortium yang telah disenarai pendek, kaedah pembiayaan dan kajian model projek akan diteliti pada fasa seterusnya, iaitu melalui proses ‘Request For Proposal’ (RFP),” tambah kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Jawapan itu bagi menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) bertarikh 17 Februari mengenai status terkini projek kereta api HSR KL-SG ekoran keputusan Malaysian Resources Corporation Bhd yang menarik diri daripada konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd.
Ahli Parlimen Mersing itu turut bertanyakan mengenai butiran konsortium yang telah disenarai pendek setakat ini, kaedah pembiayaan dan kajian model baharu projek berkenaan.
Kementerian Pengangkutan menjelaskan MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) telah melaksanakan penilaian terhadap tujuh cadangan konsep yang telah diterima daripada firma/konsortium tempatan dan antarabangsa melalui proses Permintaan Maklumat (RFI).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial