AM > BERITA

UUM Terajui Program Mobiliti Pelajar ASEAN

18/02/2025 02:14 PM

ALOR SETAR, 18 Feb (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menerajui Program Mobiliti Pelajar ASEAN sempena penganjuran Pameran dan Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025) yang akan berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada 24 dan 25 Feb ini.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata program melalui Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) itu bertujuan mengukuhkan kerjasama pendidikan, memupuk kolaborasi akademik rentas sempadan dan memperkayakan pertukaran budaya dalam kalangan pelajar ASEAN, selari dengan aspirasi integrasi serantau.

Beliau berkata program tersebut secara rasmi telah bermula secara dalam talian pada 11 Feb lepas dengan penganjuran Pertandingan Penceramah Bakat Muda ASEAN iaitu pertandingan pengucapan awam melibatkan pelajar universiti di ASEAN yang membuka ruang untuk perbincangan mengenai isu kritikal serantau. 

"Program Mobiliti Pelajar ASEAN yang julung kali diadakan ini bakal menghimpunkan 500 pelajar dari pelbagai universiti di ASEAN. Ia menawarkan gabungan dinamik aktiviti akademik, inovasi, dan pendedahan silang budaya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata berkata pada 19-23 Feb pula, pelajar akan ditempatkan di 13 universiti di seluruh negara bagi memahami landskap pendidikan tinggi negara dan kepelbagaian budaya sambil menyelami Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui Cabaran Inovator Masa Depan ASEAN.

"Dengan menggalakkan mobiliti pelajar di seluruh ASEAN, ia akan mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan melahirkan pemimpin baharu rantau ini dalam kalangan pelajar universiti," katanya.

 Mohd Foad berkata inisiatif tersebut juga berfungsi sebagai platform dinamik untuk pelajar terlibat dengan isu serantau dan global yang mendesak melalui pertukaran akademik, pameran inovasi dan dialog kepimpinan. 

Beliau berkata ia juga menawarkan peluang untuk bertukar-tukar pengetahuan, mewujudkan rangkaian, dan membangunkan penyelesaian yang menyumbang kepada ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Sementara itu, Pengerusi Program Mobiliti Pelajar ASEAN 2025 Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani merangkap Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkata program itu mencerminkan peralihan ASEAN daripada model berpaksikan negara kepada model yang menekankan kerjasama rakyat kepada rakyat.

"Kami mahu mengalihkan penglibatan ASEAN daripada model berpaksikan negara semata-mata ke arah pendekatan yang lebih mengutamakan rakyat. Ini bermakna memupuk interaksi langsung dalam kalangan individu dan institusi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan