AM > BERITA

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat: 18 Feb

18/02/2025 04:26 PM

 

MOSTI PERTIMBANG PINDA AKTA 304, LANJUT TEMPOH LESEN TENAGA ATOM 

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  mempertimbangkan untuk meminda Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) bagi melanjutkan tempoh perlesenan kepada pemohon yang memenuhi kriteria.

 Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata ini kerana pihak industri berpendapat tempoh tiga tahun yang ditetapkan ketika ini terlalu singkat sekali gus menyukarkan pelabur. 

“Dalam Akta 304, MOSTI hanya boleh beri lesen selama tiga tahun sahaja dan setiap tiga tahun kena buat pembaharuan. Kita dapat maklum balas daripada industri tiga tahun terlalu singkat dan mungkin mereka kurang yakin untuk melabur dalam industri ini.

“Jawapannya adalah ya, kami sedang dalam proses mempertimbangkan untuk lanjutan tempoh lesen,” katanya menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) sama ada kerajaan mempunyai rancangan melanjutkan tempoh lesen tersebut bagi menarik pelabur, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

 

KPM PERSIAP MURID HADAPI CABARAN 4IR, AI DALAM KURIKULUM PERSEKOLAHAN 2027 

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menggiatkan usaha untuk mempersiapkan murid menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (4IR) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan memperkenalkan pendidikan digital dan teknologi baharu dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata ketika ini KPM sedang menggubal KP2027 dengan memperkenalkan tujuh kompetensi yang perlu ada dalam semua mata pelajaran dengan satu daripada kompetensi itu adalah Fasih Digital.

“Di samping itu, kemahiran khusus yang berkaitan dengan teknologi digital akan dimasukkan dalam mata pelajaran Pembelajaran Bersepadu bermula pada Tahap I dan Tahap II, seterusnya dalam mata pelajaran Teknologi dan Digital pada Tahap III di sekolah rendah.

“Kandungan teknologi digital akan diteruskan pada peringkat menengah rendah untuk memberi peluang kepada murid menggunakan kompetensi digital tersebut dalam mana-mana mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) pada peringkat menengah atas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu apakah perubahan spesifik yang sedang dirancang dalam kurikulum kebangsaan untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran 4IR dan teknologi AI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan