AM > BERITA

DOF Seru Masyarakat Bersama Pelihara Populasi Paus Dan Mamalia Marin Lain

18/02/2025 04:11 PM

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) menyeru masyarakat bersama-sama memelihara populasi paus dan mamalia marin lain dengan mematuhi undang-undang, mengelakkan pencemaran plastik serta menyokong usaha pemuliharaan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti, dan komuniti setempat.

Menurut kenyataan dikeluarkan DOF sempena Hari Paus Sedunia, beberapa spesies paus telah direkodkan di perairan Malaysia antaranya paus Bryde, paus bungkuk (Humpback Whale) dan paus Sei.

Paus Bryde sering ditemui di sekitar Pulau Payar, Langkawi terutama ketika musim ikan bilis untuk mencari makanan, paus bungkuk pula pernah direkodkan di Pulau Redang, Terengganu; Pulau Pangkor, Perak dan Miri, Sarawak; manakala paus Sei pernah terdampar di Pulau Carey, Selangor.

"Walaupun perairan Malaysia bukan habitat utama paus, kehadiran mereka boleh dikaitkan dengan beberapa faktor antaranya laluan migrasi, pembiakan serta penjagaan kesihatan kulit.

"Kehadiran paus di perairan Malaysia bukan sesuatu yang luar biasa, mamalia ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelestarian biodiversiti marin serta menjadi indikator kepada kesihatan ekosistem laut," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut walaupun kehadiran paus petanda positif kepada ekosistem laut, beberapa ancaman perlu diberi perhatian.

Menurut DOF, paus berisiko terperangkap di kawasan perairan cetek sekali gus menyukarkan mereka kembali ke lautan dalam.

Selain itu, gangguan manusia seperti pergerakan kapal dan pencemaran bunyi boleh menjejaskan tingkah laku semula jadi spesies tersebut.

"Dari segi keselamatan manusia, saiz paus yang besar boleh menyebabkan risiko kecederaan sekiranya dihampiri terlalu dekat, selain berpotensi merosakkan bot atau kapal kecil akibat tindak balas defensif," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, DOF memaklumkan satu daripada isu yang sering dikaitkan dengan paus ialah ambergris atau lebih dikenali sebagai muntah paus, yang merupakan bahan berharga dan hanya dihasilkan oleh paus sperma.

Menurut jabatan itu, permintaan tinggi terhadap bahan tersebut telah mengakibatkan ancaman pemburuan haram.

"Di Malaysia, perlindungan terhadap paus diperuntukkan di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985, yang melarang sebarang gangguan, penangkapan, pemilikan atau penjualan paus tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Selain itu, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) menetapkan keperluan permit CITES (Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam) untuk perdagangan bahagian atau produk paus," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, menurut DOF orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah keselamatan sekiranya terserempak dengan paus.

Antara yang disarankan mengekalkan jarak selamat sekurang-kurangnya 100 meter dari paus; tidak menghampiri, menyentuh, atau memberi makan paus; mengurangkan kelajuan bot atau kapal apabila berada dalam lingkungan 800 meter dari paus; dan melaporkan sebarang penemuan mamalia itu kepada DOF melalui talian Fishcom yang beroperasi 24 jam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan