AM > BERITA

Yayasan Bank Rakyat, UKKM Meterai MoU Tajaan Biasiswa Bernilai RM4.08 Juta

18/02/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penajaan biasiswa kepada pelajar universiti itu dengan peruntukan RM4.08 juta untuk tempoh tiga tahun.

Majlis menandatangani MoU berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat di sini antara Ketua Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UKKM Prof Datuk Dr Azali Mohamed.

Majlis disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Pengerusi UKKM Datuk Dr Rosli Mat Hassan.

Ewon dalam ucapannya berkata inisiatif itu bukan sahaja memberi peluang pendidikan kepada pelajar, malah dapat memperkasakan sektor koperasi dan keusahawanan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negara.

Beliau berharap kerjasama itu dapat menjadikan UKKM sebagai antara pilihan anak muda untuk melanjutkan pengajian, terutamanya dalam bidang keusahawanan dan koperasi.

“Usaha sama antara YBR dan UKKM ini juga akan menjadi motivasi serta pembakar semangat kepada pelajar untuk memartabatkan bidang koperasi dan keusahawanan sebagai ejen perubahan,” katanya.

Kerjasama strategik itu akan memanfaatkan 35 pelajar UKKM setiap tahun, bermula 2025 hingga 2027, bagi melanjutkan pengajian dalam bidang keusahawanan dan pengurusan koperasi di peringkat Diploma serta Ijazah Sarjana Muda.

Sementara itu Philip dalam ucapannya berkata kerjasama YBR dan UKKM selari dengan inisiatif YBR untuk membantu pelajar berpotensi mendapat pendidikan sama rata, dan usaha sama tersebut sangat bersesuaian dengan visi serta objektif yayasan berkenaan.

“YBR akan sentiasa menyokong ekosistem koperasi dan keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara ke arah keusahawanan terancang dan bersepadu”, katanya.

Sejak 2008 hingga tahun lepas 7,468 pelajar ditawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR dengan jumlah peruntukan RM212.43 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan