AM > BERITA

Saifuddin Nasution Ucap Tahniah Kepada Komisioner Jeneral Penjara Baharu

18/02/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada Datuk Abdul Aziz Abdul Razak atas pelantikan beliau sebagai Komisioner Jeneral Penjara berkuat kuasa pada 14 Feb lepas.

Saifuddin Nasution menerusi hantaran di Facebook berkata sebagai Komisioner Jeneral Penjara yang baharu, beliau percaya Abdul Aziz akan terus komited menggalas amanah besar itu dengan penuh dedikasi dan membawa reformasi kepada perkhidmatan serta pengoperasian Jabatan Penjara Malaysia.

“Selamat maju jaya kepada Abdul Aziz dalam melaksanakan amanah besar ini.

“Semoga Jabatan Penjara Malaysia terus melakar kejayaan serta mencipta impak yang positif, bukan sahaja kepada penghuni penjara, tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Abdul Aziz berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi Sumber daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Sarjana Sastera Universiti Malaya (UM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan