KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini melancarkan Buku Jadual Kadar Harga (JKH) Jabatan Bekalan Air (JBA) bagi membantu agensi kerajaan merancang kewangan dan melaksanakan skop kerja bekalan air.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata buku berkenaan yang diluncurkan ketika perhimpunan bulanan kementerian itu pagi tadi adalah rujukan dalam penyediaan Anggaran Kos Awalan dan kawalan kos bagi setiap projek yang akan dilaksanakan oleh JBA.
Selain itu, beliau berkata buku berkenaan menetapkan peruntukan dan perbelanjaan kerajaan bagi penyediaan infrastruktur bekalan air kepada seluruh rakyat Malaysia.
“JKH JBA juga boleh dijadikan sebagai rujukan utama kepada pelbagai agensi kerajaan yang lain. Tahniah JBA, Bahagian Kewangan dan Perolehan PETRA serta semua pihak yang terlibat dalam penghasilan buku ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menerusi hantaran itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Mesyuarat Khas Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) di Langkawi dari 22 hingga 24 Jan lepas, serta Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPSA) atas penganjuran Program Pemukiman PETRA Tahun 2025 pada 6 Feb.
Selain itu, beliau mengucapkan selamat bertugas kepada Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Sektor Tenaga Mareena Mahpudz yang dilantik berkuat kuasa 3 Feb lepas dan pengganti beliau Anuar Zaki Bakar sebagai Setiausaha Bahagian (SUB) Bekalan Elektrik, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Tenaga (ST) yang baharu, Siti Safinah Salleh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial