AM > BERITA

Lapan Inovator Malaysia Dipilih Sertai Program LIF UK

19/02/2025 02:20 PM

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Lapan usahawan dan inovator Malaysia yang cemerlang telah dipilih untuk menyertai program berprestij Royal Academy of Engineering Leaderships in Innovation Fellowships (LIF) United Kingdom (UK) baru-baru ini. 

Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) berkata inovator terpilih dari pelbagai institusi pengajian tinggi itu akan menjalani program latihan, bimbingan dan rangkaian yang direka khusus bagi menyokong pengkomersialan inovasi cemerlang mereka.

"Sokongan ini akan ditawarkan di Malaysia dan juga semasa program intensif selama dua minggu di UK pada Julai 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

MIGHT berkata para peserta juga akan berpeluang bersaing untuk anugerah Best Pitch Award di hadapan pelabur UK, pemodal dan pelabur syarikat pemula, yang berpotensi menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk meningkatkan penyelesaian mereka secara global.

Lapan peserta dari Malaysia itu akan menyertai lebih 60 wakil dari Brazil, Colombia, India, Mexico, Filipina, Afrika Selatan, Thailand dan Vietnam untuk LIF Global 2025.

Mereka dipilih berdasarkan kepada kecemerlangan projek dan inovasi hebat mereka yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

MIGHT menekankan bahawa Program LIF adalah sebahagian daripada inisiatif kerjasama antara Malaysia dan UK di bawah Dana Perkongsian Sains Antarabangsa (ISPF) bagi menyokong usahawan tempatan dalam mengubah inovasi kejuruteraan dan teknologi mereka kepada bentuk perniagaan yang berkesan dan mampan.

"LIF memupuk inovasi hebat dari semua bidang kejuruteraan dan teknologi yang menangani isu-isu alam sekitar, ekonomi dan masyarakat, yang paling kompleks di dunia.

"Dilaksanakan sejak 2016, program LIF di Malaysia sehingga kini telah menyokong 82 ahli alumni, secara kolektif menjana lebih 500 pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperoleh lebih USD3.88 juta pembiayaan susulan pihak ketiga," katanya.

MIGHT dan Royal Academy of Engineering menganjurkan majlis penghantaran lapan inovator itu ke UK Isnin lepas.

Ia dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim, Kaunselor Suruhanjaya Tinggi British Ruzina Hasan dan Felo Akademi dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu LIF Ian Ritchie.

MIGHT diwakili Pengerusi Bersama (Industri) Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi Bersama (Kerajaan) Tan Sri Zakri Abdul Hamid, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Rushdi Abdul Rahim.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan