AM > BERITA

Aduan Jalan Berlubang Di WP Perlu Selesai Dalam Masa 12 Jam - Dr Zaliha

19/02/2025 02:41 PM

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Aduan mengenai jalan berlubang di Wilayah Persekutuan perlu diselesaikan dalam tempoh 12 jam berbanding 24 jam sebelum ini, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan “dasar sifar lubang” di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur.

"Perkara itu penting untuk keselamatan pengguna tambahan pula tahun ini kita berdepan dengan Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan," katanya dalam Majlis Aspirasi bersama warga Wilayah Persekutuan dan agensi di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata beliau yakin tempoh penyelesaian aduan dapat disingkatkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan secara langsung untuk mengesan seterusnya menyelesaikan isu penyelenggaraan bandar.

Beliau berkata aduan berkaitan jalan berlubang boleh disalurkan kepada Adu@KL atau mana-mana saluran aduan agensi yang menjadi ahli “KL Strike Force”.

Beliau berkata aduan yang biasa diterima kebanyakan di kawasan ibu kota yang dilalui banyak kenderaan serta kawasan laluan perindustrian.

Selain itu, Dr Zaliha berkata 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih dan dilengkapi Al telah dipasang di sekitar Kuala Lumpur.

"CCTV ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan awam tetapi juga akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan termasuk pemantauan secara proaktif dan tindakan lebih pantas kepada situasi kecemasan, insiden trafik mahu pun aktiviti jenayah," katanya.

Dr Zaliha berkata beliau juga mahu satu pasukan petugas dipimpin oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dibentuk bagi mengkaji semula akta dan peraturan lapuk.

Beliau berkata hasil dapatan tersebut akan dibentangkan kepadanya pada penghujung suku kedua tahun ini.

“Terdapat keperluan untuk perkara itu memandangkan akta dan peraturan yang mengawal selia Wilayah Persekutuan telah wujud sejak berdekad lamanya dan tidak lagi sesuai dengan realiti semasa.

"Saya minta untuk pasukan petugas tersebut nanti turut melihat bagaimana untuk mengoptimumkan peranan kita sebagai state-like function boleh dimuktamadkan," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan