PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Sektor pemprosesan dan pengeluaran produk perikanan di Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif melibatkan penyertaan 667 usahawan aktif pada 2024, dan menghasilkan nilai ekonomi berjumlah RM64 juta, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.
Beliau berkata pencapaian dicatatkan menerusi Program myAgropreneur (myAP) itu mencerminkan peranan penting industri pemprosesan perikanan dalam menyokong pembangunan ekonomi negara, sekali gus memperkukuh rantaian nilai perikanan tempatan.
Berkongsi pencapaian usahawan MyAP dalam tempoh 2021 hingga 2024, Adnan berkata 138 usahawan terlibat dalam pengeluaran produk perikanan sejuk beku di seluruh negara dengan nilai ekonomi mencecah RM38 juta.
Johor mencatatkan jumlah usahawan tertinggi iaitu 26 orang diikuti Selangor dengan 21 orang dan masing-masing 20 orang bagi Kedah serta Pahang manakala selebihnya di negeri lain.
“Antara produk utama dihasilkan usahawan MyAP adalah makanan sejuk beku seperti keropok lekor yang terus mendapat permintaan tinggi pasaran domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata Jabatan Perikanan (DOF) komited untuk terus menyokong pertumbuhan usahawan Industri Asas Tani (IAT) perikanan menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk peningkatan kapasiti, latihan teknikal dan akses meluas terhadap pasaran.
Bagi memperluaskan pasaran produk sejuk beku, beliau berkata DOF menyokong usaha Perkhidmatan Logistik Ninja Cold oleh Ninja Van Malaysia kerana dapat memastikan penghantaran efisien dan mengekalkan kesegaran serta kualiti produk usahawan IAT.
“Inisiatif itu memberi kelebihan kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas dengan sistem pengangkutan cekap dan terkawal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial