KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang melaksanakan perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah kecil melalui beberapa pindaan akta yang berkaitan.
KPKT dalam kenyataan memaklumkan ia melibatkan pindaan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Menerusi pindaan tersebut, sekiranya gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat orang yang disabitkan boleh dikenakan denda RM2,000 hingga RM10,000.
“Kuasa sedia ada di bawah akta yang berkaitan hanya memberi peruntukan denda RM500 hingga RM2,000 atau penjara setahun,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan perintah khidmat masyarakat tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat supaya peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil di kawasan awam sewenang-wenangnya.
“KPKT turut mengadakan sesi taklimat khas mengenai cadangan tersebut kepada Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara di Parlimen semalam bagi memberi penerangan mengenai pindaan dan penggubalan akta yang dicadangkan serta implikasinya,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata aktiviti pembersihan yang akan dilaksanakan di bawah perintah khidmat masyarakat ini merupakan sumbangan balik pesalah kepada alam sekitar.
Beliau berkata langkah itu dapat memberikan manfaat seterusnya menyokong hasrat kerajaan dalam mewujudkan negara yang lebih bersih, indah dan sejahtera.
Sementara itu, kenyataan tersebut juga memaklumkan KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar.
Menurut KPKT cadangan rang undang-undang itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri secara dasar pada 14 Ogos tahun lepas dan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-83 pada 10 Sept 2024.
“RUU ini dalam proses semakan bagi mendapatkan kelulusan Jabatan Peguam Negara. Setelah kelulusan itu, RUU ini akan dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri pada Mac ini, diikuti MNKT pada Mei.
“Seterusnya, RUU ini akan dibentangkan di Parlimen pada Julai tahun ini,” menurut kenyataan itu yang juga memaklumkan bahawa RUU tersebut menekankan prinsip yang digariskan terutama dalam memastikan tiada pihak akan tertindas dalam proses pembaharuan semula bandar.
RUU itu antara lain mengandungi peruntukan khas bagi melindungi hak dan kepentingan pemilik untuk menyelesaikan isu berkaitan hak pemilikan, serta proses dan prosedur pembaharuan semula bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial