AM > BERITA

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi hospital UTAR Di Kampar

19/02/2025 05:43 PM

KAMPAR, 19 Feb (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menyempurnakan majlis perasmian Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Lembaga Hospital UTAR Emeritus Prof Tan Sri Dr Chuah Hein Teik. 

Dalam sembah ucapannya, Chuah berkata idea untuk mempunyai hospital pengajarnya sendiri sebagai langkah perkembangan seterusnya selepas penubuhan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan M. Kandiah (MK FMHS) di UTAR Kampus Sungai Long, Selangor pada 2009.

Beliau berkata pada 2014, pengerusi majlis UTAR ketika itu Tun Dr Ling Liong Sik mengumumkan pelan untuk menubuhkan hospital latihan pakar di UTAR Kampar.  

Hospital yang terletak dalam Kampus UTAR Kampar itu, bukan sahaja mempunyai persekitaran luas malah kedudukannya yang strategik memberikan akses kepada komuniti berhampiran, termasuk dari Ipoh, Gopeng, Tapah, Proton City, Tanjung Malim, Teluk Intan, Cameron Highlands dan Malim Nawar.

“Ini membolehkan Hospital UTAR memberikan perkhidmatan lebih berkesan di seluruh wilayah Perak dan selainnya. Hospital ini dibangunkan secara berperingkat dan di peringkat awal kompleks ini mempunyai 250 katil untuk Perubatan Barat serta 100 katil bagi Perubatan Tradisional dan Komplementari.

“Kemudahan yang disediakan termasuk rawatan pesakit luar, pusat diagnostik dan rawatan, perkhidmatan sokongan dan bukan perubatan, penyelidikan serta pendidikan. Terdapat perancangan untuk menambah  250 lagi katil pada masa hadapan jika terdapat keperluan,” katanya.

Pada 2017, Kementerian Kesihatan telah memberikan kelulusan pengezonan diikuti kelulusan pelan terperinci hospital pada 2018, sebelum pembinaan dimulakan pada 5 Okt 2018, dan hari ini kami berbesar hati untuk menyatakan Hospital UTAR Fasa 1 kini siap dan mula beroperasi.

Beliau berkata Hospital UTAR mengamalkan prinsip yang sama seperti UTAR iaitu “by the people for the people”.

Chuah berkata Pusat Perubatan Barat Hospital UTAR mula beroperasi pada 1 Ogos 2023 dengan pasukan perubatan terdiri pakar residen dalam perubatan dalaman, ortopedik dan traumatologi, obstetrik dan ginekologi, psikiatri, pediatrik, pembedahan am, perubatan kecemasan serta pembedahan pergigian dan mulut, dibantu oleh pegawai perubatan.

“Perkhidmatan telinga, hidung dan tekak (ENT), oftalmologi dan kardiologi akan diperkenalkan pertengahan tahun ini. Selain itu, dalam masa terdekat kami akan memberikan tumpuan kepada bidang khusus seperti pembedahan robotik, onkologi, perkhidmatan kardiovaskular dan kardiotoraks, aplikasi sel stem untuk perubatan regenerative selain rawatan untuk strok,” katanya.

Hospital UTAR turut menekankan pendekatan holistik terhadap penjagaan kesihatan dengan memberikan perhatian kepada keseimbangan antara perubatan moden dan pendekatan rawatan pencegahan serta kesihatan masyarakat.

Beliau berkata Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) UTAR bertujuan meningkatkan pemahaman, dan penggunaan rawatan pelengkap tradisional secara lebih meluas dan berkesan dalam landskap perubatan moden.

“Pusat T&CM UTAR memiliki keunikan tersendiri iaitu mempunyai tiga cabang utama perubatan tradisional iaitu perubatan tradisional Cina, Ayurveda, dan Melayu. Dengan pendekatan ini, pesakit boleh menerima rawatan secara holistik yang menggabungkan pelbagai kaedah penyembuhan daripada budaya yang berbeza.

“Pusat T&CM UTAR mula menawarkan perkhidmatan Perubatan Tradisional Cina (TCM) pada April 2022 dan setakat Januari 2025, pusat ini telah menerima lebih 100,000 pesakit.

"Pesakit itu datang dari pelbagai kawasan di Perak, selain dari negeri lain seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Melaka,” katanya.

Antara pencapaian utama pusat berkenaan ialah penubuhan Pusat Pemulihan TCM yang menyediakan pelbagai jenis rawatan berasakan herba, termasuk mandian dan spa kaki herba serta Herbal Patches selain terapi selepas bersalin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan