KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat manakala di Negeri Sembilan menurun pagi ini.
Di PAHANG, mangsa banjir terus meningkat kepada 178 orang daripada 54 keluarga berbanding 121 orang daripada 33 keluarga malam tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 150 orang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia, Bentong manakala 28 lagi di PPS Sekolah Kebangsaan Lanchang, Temerloh.
Di NEGERI SEMBILAN, mangsa banjir di Jelebu merekodkan 101 orang daripada 27 keluarga berlindung di PPS Dewan D'Sury pagi ini berbanding 110 orang malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata kesemua mangsa merupakan penduduk Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru, Taman Bandar Tinggi dan Kampung Sepri, Chennah yang terdiri daripada sembilan individu warga emas, 53 dewasa, 35 kanak-kanak serta empat bayi lelaki.
"Keadaan cuaca pada masa ini baik. Paras air di kawasan sungai berdekatan juga semakin surut. Kerja-kerja pascapembersihan akan dilakukan oleh pasukan Skuad MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi menyelamatkan mangsa banjir melibatkan 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam, bomba (10), polis (13), Jabatan Kebajikan Masyarakat (lima) dan Rejimen Askar Melayu Diraja (lapan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial