AM > BERITA

JK Harmoni Bincang Kaedah Terbaik Perkukuh Perpaduan - Mohd Na'im

20/02/2025 07:51 PM

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) tidak membincangkan hal berkaitan dasar agama Islam sebaliknya mencari jalan dan memberikan pandangan kepada kerajaan tentang kaedah terbaik untuk memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang agama di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perkara itu selaras dengan fungsi utama penubuhan JK HARMONI iaitu secara bersama mencari nilai yang baik dalam setiap agama dan mengadakan aktiviti berunsur kesedaran serta keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat.

“JK HARMONI langsung tidak bincang hal-hal dasar agama Islam sebab agama Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memang jelas di bawah kuasa sultan dan kerajaan negeri.

“Jadi bagaimana kita nak bincangkan tentang agama Islam dalam jawatankuasa ini sebab kuasa itu berada di bawah kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Said Sabri di sini hari ini.

Beliau menegaskan jawatankuasa itu dianggotai para ulama dan ketua-ketua agama yang akan memainkan peranan untuk memberikan penjelasan tentang isu berbangkit berkaitan agama serta mengajak masyarakat supaya tidak menghina agama lain.

”Jadi maknanya ketua-ketua agama ini (dalam JK HARMONI) akan mengambil peluang untuk berbincang dan kalau ada isu melibatkan salah faham terhadap agama, maka kita harapkan mereka dapat memainkan peranan,” katanya.

Sebanyak 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli JK HARMONI dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.

Menurut jawatankuasa itu, mereka terdiri daripada 10 wakil agama Islam, empat wakil agama Buddha, empat wakil agama Kristian, dua wakil agama Hindu, satu wakil agama Sikh, dua wakil Tao, satu wakil Bahai dan wakil UNIFOR, Sarawak.

Mohd Na’im turut menasihati umat Islam di negara ini agar tidak terlalu beremosi dalam melihat kepada isu-isu perundangan agama yang kompleks serta sentiasa bersikap rasional dalam melontarkan sebarang pandangan termasuk di media sosial.

“Saya rasa ada beberapa salah faham berkaitan jawatankuasa ini, saya nak sebut di sini jawatankuasa ini bertujuan mengharmonikan pengikut agama bukan untuk mengharmonikan agama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan