KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara akan menggunakan dapatan kajian Architects of Diversity (AOD) Malaysia - 'State of Discrimination Survey 2023' untuk dijadikan petunjuk awal bagi memperhebat usaha penyatuan rakyat Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata KPN akan menumpukan kepada empat ikhtiar asas bagi mencapai perpaduan negara menerusi Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosiobudaya.
Beliau berkata keempat-empat ikhtiar itu adalah asas kepada hala tuju kementerian pada tahun ini dalam mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Pelaksanaannya boleh dilakukan dengan hebahan melalui pelbagai platform di agensi masing-masing sebagai mesej bahawa Perpaduan Tanggungjawab Bersama.
“Sinergi ini diharap akan dapat memperkukuh perpaduan dan keharmonian di Malaysia yang sekali gus mengurangkan perasaan diskriminasi dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Rakyat hari ini.
Kajian AOD, sebuah pertubuhan bukan kerajaan diasaskan sekumpulan sukarelawan itu menunjukkan 64 peratus daripada 3,283 responden mengalami diskriminasi berkaitan dengan status ekonomi, umur, etnik, warna kulit, budaya, tradisi dan bahasa ibunda atau loghat.
Kajian yang dijalankan melibatkan responden berumur 18 tahun ke atas itu mendapati pelbagai jenis diskriminasi telah dialami oleh responden bagi tempoh 12 bulan, antaranya adalah diskriminasi berkaitan tempat kerja, keagamaan dan kepuasan terhadap inisiatif kerajaan.
Aaron berkata pelbagai pendekatan berorientasikan masyarakat telah digerakkan oleh kementerian melalui Kembara Perpaduan Malaysia MADANI yang digariskan merangkumi tiga kluster utama program iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Jejak Harmoni, Sambutan Hari Toleransi Sedunia, Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Dialog Harmoni, Bicara Harmoni, Wacana Memupuk Perpaduan Dalam Kepelbagaian Agama dan Dokumentari Harmoni.
Kementerian juga berharap usaha itu turut dilaksanakan bersama oleh pelbagai pihak agar isu diskriminasi dan kepercayaan antara kaum seperti yang dilaporkan dalam kajian AOD dapat diatasi.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial