AM > BERITA

Penantian Lebih Dua Tahun Veteran ATM Dapat Rumah Baharu Berakhir

21/02/2025 09:02 PM

KLUANG, 21 Feb (Bernama) -- Seorang pesara tentera yang berkhidmat ketika darurat, gembira dan bersyukur apabila penantiannya selama lebih dua tahun untuk memiliki kediaman yang lebih selamat berakhir apabila menerima rumah baharu daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Bukit Nyamuk, Simpang Renggam, dekat sini.

Shamsudin Hamzah, 64, berkata sebelum ini rumah asalnya yang terletak kira-kira 250 meter dari rumah baharu itu dikategorikan tidak selamat kerana mengalami kejadian tanah mendap dan boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.

Menurut Shamsudin, dia terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rumah baharu kerana keadaan tanah di kawasan itu merupakan tanah jenis gambut yang memerlukan masa untuk proses memampatkan tanah berbanding dengan pembinaan rumah di lokasi biasa.

“Walaupun lewat sedikit siap, saya berterima kasih kepada pihak JHEV ATM dan kontraktor yang dilantik, iaitu UAC Bhd (anak syarikat LTAT) kerana kesanggupan untuk pembinaan setelah tertangguh beberapa kali berikutan beberapa kontraktor sebelum ini menolak untuk membinanya.

“Akhirnya, saya dapat tinggal di rumah yang lebih selamat dan bersyukur mereka (JHEV ATM) masih mengingati serta membantu saya,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Rumah Bina Baharu Inisiatif Perumahan Veteran Dengan Kerjasama UAC yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Semaon Marjuki di sini hari ini.

Sementara itu, Semaon berkata semenjak inisiatif pembinaan rumah baharu untuk veteran ATM diperkenalkan pada 2021, rumah yang dibina di Bukit Nyamuk Simpang Renggam, di sini ialah yang pertama menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Beliau berkata sistem IBS perlu digunakan kerana ia lebih ringan dan berketumpatan rendah serta mampu meningkatkan kestabilan struktur rumah terutamanya untuk pembinaan di kawasan tanah gambut.

“Setelah melihat kejayaan pembinaan rumah ini, kita bercadang untuk meneruskan kerjasama dengan UAC kerana kaedah ini dilihat lebih praktikal berikutan tempoh masa singkat untuk menyiapkan sesebuah rumah berbanding cara biasa," katanya.

Semaon berkata JHEV ATM menyasarkan untuk membina kira-kira 60 hingga 70 rumah baharu kepada veteran manakala 220 rumah akan dibaik pulih tahun ini.

“Tahun lepas, kita berjaya menyiapkan 53 pembinaan rumah baharu dan membaik pulih 209 rumah di seluruh negara dengan peruntukan RM6.19 juta, insya-Allah jumlah ini akan meningkat pada 2025 untuk membantu pesara ATM yang layak dapat memiliki rumah lebih selesa," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan