AM > BERITA

Mempertingkatkan Kesedaran Keselamatan Makanan Kanak-kanak, Penguatkuasaan Lebih Tegas

22/02/2025 11:30 AM

Oleh Farhana Poniman & Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 22 Feb (Bernama) -- Tidak sampai seminggu sesi persekolahan 2025/2026 bermula, negara digemparkan dengan peristiwa menyayat hati apabila kanak-kanak berusia 10 tahun meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal atau gummy di Pulau Pinang, Khamis lepas.

Lebih mendukacitakan apabila diketahui gula-gula jenis gummy yang dibelinya di luar kawasan sekolah, meskipun Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Edisi Kedua 2021), berkuat kuasa di negara ini sejak 2012.

Garis panduan tersebut melarang penjualan makanan dan minuman dalam lingkungan 40 meter dari pagar sekeliling sekolah bagi semua premis makanan termasuk penjaja statik, penjaja beredar dan penjaja sementara, namun kejadian tragis seperti ini terus berulang dengan makanan berisiko tinggi seperti gula-gula gummy serta konjak jeli menjadi penyebab.

Pakar dan persatuan berkaitan kini menggesa penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, sambil menekankan kepentingan pendidikan dan kempen kesedaran mengenai bahaya makanan tertentu, khususnya kepada ibu bapa dan kanak-kanak.

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) Prof Madya Dr Mohamad Ikram Ilias berkata ibu bapa harus mengambil iktibar daripada insiden Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin dan kejadian tragis itu mengingatkan tentang betapa pentingnya pengawasan terhadap pemakanan kanak-kanak, khususnya dalam memilih makanan ringan yang sesuai.

“Gula-gula kenyal seperti gummy boleh menjadi risiko tercekik terutama bagi kanak-kanak yang lebih muda dan oleh itu, ibu bapa serta penjaga disarankan untuk sentiasa memantau jenis makanan yang diberikan kepada anak-anak mereka dan memastikan ia sesuai serta selamat untuk dimakan,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Pakar Perunding Pediatrik berkata selain itu, pihak sekolah dan penjual di sekitar kawasan sekolah juga memainkan peranan penting dalam memastikan produk yang dijual adalah selamat dan sesuai untuk kanak-kanak. 

Dr Mohamad Ikram berkata berdasarkan pengalaman, risiko tercekik makanan bukan hanya khusus untuk gula-gula sahaja namun pengambilan buah-buahan yang mempunyai biji yang keras seperti buah mata kucing, anggur, ceri dan juga kacang juga berpotensi untuk menyebabkan risiko tercekik.

Beliau berkata terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa, penjaga dan pendidik bagi memastikan keselamatan kanak-kanak, antaranya memotong makanan kepada saiz kecil seperti buah yang mempunyai biji besar serta dibuang bijinya sebelum diberikan kepada kanak-kanak.

“Pastikan kanak-kanak juga makan dalam keadaan duduk, tidak berlari atau bermain kerana kanak-kanak yang makan sambil bercakap, berlari atau bermain lebih berisiko untuk tercekik serta ajarkan teknik mengunyah dengan betul iaitu galakkan untuk mengunyah makanan dengan perlahan,” katanya

Dr Mohamad Ikram berkata ibu bapa dan penjaga disarankan untuk mempelajari teknik Heimlich maneuver atau prosedur kecemasan lain, yang boleh menyelamatkan nyawa sekiranya anak mengalami tersedak atau tercekik.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow menekankan supaya perlunya undang-undang yang lebih ketat mengenai makanan yang dijual kepada kanak-kanak, bagi menjamin keselamatan mereka dan nutrisi pemakanan.

Beliau menjelaskan kanak-kanak tidak mengetahui tentang kualiti dan kandungan sesuatu makanan ringan, kerana mereka hanya tertarik kepada warna serta kemanisan, justeru Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menapis makanan ringan yang dijual di pasaran, selain memastikan semua makanan ringan yang dipasarkan untuk kanak-kanak mempunyai logo kelulusan daripada KKM.

“Menurut tinjauan CAP, terdapat lebih 200 makanan ringan dijual untuk kanak-kanak di pasaran dan kesemuanya mengandungi gula dengan pelbagai jenis warna yang tidak sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye pula berkata PBT di Pulau Pinang, sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah berhubung pemantauan jualan penjaja berhampiran premis sekolah.

“PBT memang ada kuasa untuk ambil tindakan terhadap semua penjaja tanpa lesen di seluruh negeri dan kita juga sekiranya mendapat aduan daripada pihak sekolah berhubung jualan makanan dan minuman di luar pagar, akan mengambil tindakan segera mengenai aduan tersebut.

“Malah penguat kuasa PBT kita juga melalukan rondaan bagi memastikan penjaja mematuhi peraturan yang ditetapkan dan jika mereka ingkar atau tidak mematuhi peraturan ditetapkan, penguat kuasa akan mengeluarkan notis atau terus buat rampasan,” katanya.

Mohammad Fahmi Hafiz yang kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy Selasa lepas, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang pada Khamis.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.

Susulan itu, KKM semalam menegaskan penjualan produk gula-gula kenyal atau gummy berbentuk mata dilarang di semua platform dalam talian dan pasaran domestik sementara siasatan mendapati produk berkenaan menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan