TAWAU, 22 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun dan Etiqa Family Takaful Berhad menjalinkan kerjasama strategik dengan menganjurkan program pemodenan nelayan asnaf bagi membantu memperkasakan ekonomi golongan itu di Sabah.
Ketua Bahagian Perancangan dan Pembangunan Strategik Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) Salleh Obong berkata ketika ini terdapat 3,096 nelayan asnaf direkodkan di negeri ini yang perlu dibantu untuk keluar daripada kemiskinan.
"Saya berbesar hati Etiqa Takaful mengambil inisiatif menaja kursus transformasi aplikasi digital nelayan dengan Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun sebagai penganjur. Program ini mendedahkan mereka dengan pelbagai pengetahuan termasuk penggunaan teknologi program nelayan digital (e-smart).
"Mengikut data eKasih, antara daerah yang paling ramai nelayan asnaf adalah Pitas serta Semporna, dengan fokus Ko-Nelayan untuk membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan program pemodenan nelayan asnaf Etiqa Takaful di sini hari ini.
Sebanyak 60 nelayan asnaf dari Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu menyertai program itu dengan Etiqa Takaful menyumbangkan RM250,000 termasuk peralatan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful Zafri Ab Halim berkata sebagai sebuah syarikat pengendali insurans dan takaful, pihaknya sentiasa berusaha membantu memperkasakan golongan yang kurang bernasib baik termasuk nelayan.
"Program pemodenan nelayan asnaf Etiqa Takaful ini adalah bukti keprihatinan kami dalam menambah baik kehidupan para nelayan dengan memberikan mereka peralatan, ilmu serta teknologi yang diperlukan dan kami berharap program ini meningkatkan ekonomi nelayan asnaf," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun Al-Ikhwan Rahmatullah berkata kerjasama dengan Etiqa Takaful membuktikan visi bersama kedua-dua pihak dalam memperkasakan komuniti nelayan asnaf di Sabah.
"Dengan menyediakan keperluan, latihan dan bantuan teknologi , kami menyasarkan peluang pendapatan yang mapan untuk para nelayan asnaf," katanya.
Di samping itu, beliau berkata penganjuran program berkenaan sekali gus menggalakkan nelayan beralih kepada kaedah penangkapan lebih moden dan dalam jangka masa panjang, memberi impak positif kepada kehidupan mereka.
Sementara itu, nelayan dari Kunak Azlan Iskandar, 30, berkata program yang dianjurkan itu cukup bermanfaat, antaranya peserta didedahkan dengan penggunaan teknologi e-smart, aplikasi yang dapat mengenal pasti lokasi ikan berdasarkan data satelit.
"Saya menggunakan e-smart ini sejak Nov, memudahkan nelayan merancang 'mengambil' ikan mengikut titik yang ditunjukkan dalam aplikasi itu.
“Nelayan ini tidak menentu pendapatannya, macam saya yang menangkap bilis sebelum ini boleh dapat kira-kira 100 kilogram (kg) sehari, tetapi dengan menggunakan e-smart, hasil tangkapan kini mampu mencecah 400kg sehari," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial