IPOH, 22 Feb (Bernama) -- Kerajaan Perak memperkenalkan subsidi khas berjumlah RM600,000 untuk 150 pasangan suami isteri menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) bagi membantu mereka yang ingin menimang cahaya mata.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata subsidi menerusi program Permata Perak itu akan memperuntukkan RM4,000 bagi setiap pasangan yang mahu menjalani rawatan itu.
“Kita semua maklum bahawa isu kesuburan bukan sekadar cabaran dari sudut fizikal, ia juga memberikan tekanan emosi dan psikologi yang besar kepada pasangan yang menghadapinya.
“Program ini tidak hanya menawarkan rawatan kesuburan tetapi juga memberikan harapan bagi pasangan yang menghadapi kesukaran mendapatkan zuriat,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Pusat Pakar Rawatan Kesuburan Metro IVF Ipoh di sini hari ini.
Dalam majlis yang dihadiri Pengasas dan Pengerusi Metro Healthcare Berhad Dr Tee Swi Peng serta Pakar Obstetriks, Ginekologi dan Kesuburan Metro Ivf Ipoh Prof Dr V. Jaya Balan itu, beliau turut melancarkan Program Kumpulan Sokongan Impian Dua Garis Perak Darul Ridzuan.
Sementara itu, Saarani berkata Metro IVF Ipoh kini menjadi sebahagian daripada rangkaian 27 pusat kesuburan IVF di Malaysia dengan enam daripadanya dimiliki syarikat berkenaan.
Beliau berkata pembukaan pusat tersebut di Perak memperluas lagi akses rawatan kesuburan kepada rakyat negeri ini.
Berhubung subsidi itu, antara syarat ditetapkan termasuk pasangan suami isteri mestilah warganegara Malaysia dan bermastautin di Perak, merupakan pasangan yang didiagnosis dengan ketidaksuburan dan disyorkan untuk rawatan IVF serta memenuhi kriteria perubatan seperti yang dinilai oleh pakar Metro IVF.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial