AM > BERITA

Bintulu Port Holdings Rai Media Tonjol Pencapaian Syarikat Sepanjang 2024

24/02/2025 01:55 PM

KUCHING, 24 Feb (Bernama) -- Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) meraikan warga media atas sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam mempromosikan inisiatif serta menonjolkan pencapaian syarikat sepanjang tahun lepas. 

Pengerusi BPHB Group Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata pengamal media telah menunjukkan semangat kerjasama dan kesanggupan untuk berusaha lebih keras dalam menyampaikan mesej syarikat dan turut memuji kreativiti media dalam menzahirkan intipati kerja BPHB.

“Kami sangat bertuah mempunyai komuniti media yang begitu komited di sisi kami,” katanya pada majlis penghargaan kepada media yang dianjurkan oleh BPHB pada Ahad.

Beliau berkata tahun lepas, BPHB yang juga pengendali Pelabuhan Bintulu telah mencatat kejayaan cemerlang hasil asas yang kukuh dan sokongan padu kerajaan Sarawak.

“Satu daripadanya ialah penubuhan Terminal Kereta Bintulu, yang mengukuhkan lagi Pelabuhan Bintulu sebagai hab kapal pemindahan roll-on, roll-off (Ro-Ro) yang terkemuka. Di samping itu, penubuhan pangkalan bekalan Borneo Oil and Gas Sdn Bhd,” katanya.

Mohamad Abu Bakar yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berkata satu lagi pencapaian BPHB pada tahun lepas ialah menjadi perintis dalam penggunaan dron autonomi untuk pengawasan termaju di Malaysia, yang menetapkan piawaian baharu dalam inovasi teknologi.

Beliau berkata pengendali pelabuhan itu juga telah meraih beberapa anugerah berprestij, antaranya Anugerah BrandLaureate Best Brands 2024 untuk Jenama Terbaik dalam kategori Perkhidmatan Pelabuhan dan Maritim, serta Anugerah Platinum untuk Perusahaan Besar di Anugerah Kelestarian Bintulu (BiSA) 2024.

“Selain itu, kami dengan bangga telah mendapat pengiktirafan untuk Pensijilan Label Terminal Hijau (Green Terminal Label Certification, GTLC) yang dianugerahkan oleh Bureau Veritas pada September 2024, sebagai bukti komitmen kami terhadap pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

BPHB pada majlis itu menyampaikan anugerah penghargaan kepada organisasi media atas profesionalisme dan sumbangan mereka dalam menonjolkan pencapaian pelabuhan itu.

Antara penerima anugerah ialah Bernama, yang menerima Anugerah Liputan Berita Cemerlang; Suara Sarawak, Sin Chiew Daily dan Utusan Borneo (Kecemerlangan dalam Kewartawanan); RTM dan TVS (Segmen Berita Televisyen Terbaik); Bintulu News (Liputan Media Sosial Terbaik); serta The Borneo Post dan Utusan Sarawak (Kandungan Paling Menarik).

Sementara itu, Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Jabatan Penerangan dianugerahkan sebagai Rakan Strategik Tahunan Pelabuhan Bintulu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan