AM > BERITA

59.3 Peratus Murid Tahun Satu Kuasai Kemahiran 3M

24/02/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 59.3 peratus daripada 122,062 murid tahun satu dikenal pasti menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) sepanjang tahun lepas menerusi program Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata murid yang belum menguasai kemahiran itu bakal mengikuti Program Pemulihan Khas di tahun dua.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan program intervensi fasa satu dari Julai hingga September 2024 dengan 48,308 murid berjaya menguasai kemahiran asas 3M.

“Melalui intervensi dalam fasa dua yang dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024...data menunjukkan 24,077 murid berjaya menguasai asas 3M,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang ingin tahu cabaran utama dihadapi pihak sekolah dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan kemahiran asas 3M.

Wong berkata KPM menyedari cabaran memastikan penguasaan 3M dalam kalangan murid tahun satu bukan hanya terhad kepada aspek pedagogi semata-mata, tetapi turut dipengaruhi faktor sosial, ekonomi, ketersediaan murid serta persekitaran pembelajaran di rumah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan