AM > BERITA

UniMAP Cipta Sejarah Uji Bahan Salutan Geopolimer Di Makmal Antarabangsa

24/02/2025 05:46 PM

KANGAR, 24 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah tersendiri apabila menjalankan pengujian bahan salutan geopolimer di makmal antarabangsa Rutherford Appleton Laboratory, United Kingdom.  

Timbalan Naib Canselor UniMAP Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata ia merupakan kali pertama bahan berasaskan geopolimer diuji di kemudahan bertaraf antarabangsa, yang sebelum ini lebih tertumpu kepada bahan logam dan aloi.  

“Pengujian ini menggunakan Engin-X daripada peralatan ISIS Neutron and Muon Source (ISIS), iaitu garis pancaran khas menggunakan pembelauan neutron bagi mengkaji sifat kejuruteraan bahan hasil ciptaan saintis Dr Tung Lik Lee.  

“Ia satu pencapaian penting dalam memperkukuh pemahaman terhadap bahan geopolimer khususnya dalam aplikasi industri,” katanya  dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mustafa berkata kejayaan pengujian itu adalah hasil penyelidikan bersama Prof Madya Dr Rafiza Abdul Razak dari UniMAP sekali gus menyumbang kepada pencapaian penyelidikan dan inovasi Malaysia di peringkat global.  

“Kami amat bersyukur kerana berjaya melaksanakan pengujian ini, yang memberikan pemahaman lebih mendalam tentang sifat bahan geopolimer sebelum diaplikasikan dalam industri,” katanya.  

Beliau berkata program itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Majlis Kemudahan Sains dan Teknologi (STFC), United Kingdom, di bawah Dana Perkongsian Sains Antarabangsa (ISPF).  

Mohd Mustafa turut merakamkan penghargaan kepada KPT dan STFC atas sokongan terhadap penyelidikan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada saintis Malaysia untuk meneroka teknologi bertaraf antarabangsa.  

“Saya harap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kajian dan inovasi dalam usaha membawa teknologi bahan termaju Malaysia ke persada dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan