GEORGE TOWN, 25 Feb (Bernama) -- Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG) di sebuah hotel di Batu Feringhi di sini hari ini.
Program yang menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste itu, akan diteruskan dengan mesyuarat dua hala sempena permukiman berkenaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijadualkan mengadakan sesi tinjauan mesra hari ini pada permukiman yang berlangsung hingga 27 Feb ini.
Sebelum ini, Mohamed Khaled berkata Permukiman ADMM kekal sebagai platform penting untuk mempertahankan dan membincangkan pemusatan ASEAN dalam persekitaran global dan serantau yang semakin berkembang, selain menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN serta meneroka bidang kerjasama pertahanan baharu.
Permukiman ADMM yang dipengerusikan Mohamed Khaled selaku tuan rumah akan diteruskan pada hari kedua esok.
Lebih 150 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN dijangka menghadiri permukiman kali ini.
Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri yang dijalankan oleh tujuh kementerian.
Permukiman ADMM diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini. Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial