BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM > BERITA

Dewan Rakyat Lulus RUU Majlis Media, Kemenangan Besar Buat Media - Fahmi

26/02/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini sebagai kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia.

Beliau berkata ini adalah saat bersejarah buat industri media memandangkan cadangan rang undang-undang itu mula diutarakan pada 1973, iaitu kira-kira 52 tahun lepas.

"Setelah dikuatkuasakan nanti kita jangka lembaga pengasas akan dibentuk dan Majlis Media Malaysia kita harap tahun ini, sekiranya sempat, menjelang pertengahan tahun ini kita akan dapat wujudkan. 

"Prosesnya masih jauh dan ini hanya permulaan tapi ia adalah kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Protem MMM Premesh Chandran berkata kelulusan rang undang-undang itu merupakan pencapaian membanggakan kepada industri media, sekali gus akan menjadi suara perubahan yang lebih rancak dari aspek undang-undang media.

"Kita berterima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Protem yang bekerja sangat lama, lebih kurang lima tahun tanpa gaji sehingga pembentukan akta ini. Kalau media pun kuat, kita harap suara rakyat pun akan bertambah kuat," katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan